Dong Jiao Zong tidak berganjak menentang penggunaan bahasa Inggeris
Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), atau dikenali sebagai gabungan Dong Jiao Zong, akan terus menentang penggunaan bahasa Inggeris untuk matapelajaran Sains dan Matematik walaupun kerajaan bertegas untuk melaksanakannya di semua jenis sekolah.
Timbalan pengerusi Dong Zong, Dr Yap Sin Tian, berkata persatuan itu akan terus memberi penjelasan berhubung pendiriannya itu walaupun kerajaan tidak menghiraukan pandangan pergerakan pendidikan Cina atau pihak-pihak lain yang menentang dasar tersebut.
"Selain itu, kami juga mengalu-alukan sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak, termasuk persatuan, parti politik kerajaan atau pun pembangkang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi Dewan Pemuda PAS (DPP) di Era Kolej, Kajang, Selangor, hari ini.
"Pintu kami sentiasa terbuka (dalam membincangkan perkara ini) untuk mencari penyelesaian yang terbaik," jelas Dr Yap.
Tengah hari tadi, Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamed memberitahu pemberita selepas mesyuarat pasca-Kabinet bahawa kerajaan akan meneruskan pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mulai tahun depan, walaupun belum mendengar maklumbalas dari parti komponen Cina dalam Barisan Nasional (BN).
Tidak wajar
Ia jelas bercanggah dengan kenyataan beliau minggu lalu bahawa mesyuarat Kabinet tidak akan membincangkan pendirian kerajaan mengenai sekolah jenis kebangsaan (Cina dan Tamil) tanpa mendengar maklumbalas dari parti komponen BN yang mewakili kedua kaum tersebut.
Bagaimanapun, parti MIC yang mewakili kaum India telah memutuskan bersetuju dengan dasar penggunaan bahasa Inggeris bagi kedua-dua matapelajaran berkenaan.
Sehubungan itu, Dr Yap berkata, adalah tidak wajar bagi sesetengah pihak melabel kumpulan atau individu tertentu yang membantah dasar pendidikan ini sebagai ekstremis kerana tindakan itu turut dibantah oleh beberapa parti komponen BN.
"Maka, isu ini bukanlah isu sesuatu kaum atau masalah beberapa pertubuhan sahaja," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS, Mahfuz Omar memberitahu
malaysiakini
bahawa langkah kerajaan meneruskan dasar ini tanpa mendengar pandangan parti komponen BN yang mewakili kaum Cina seperti MCA, Gerakan dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) adalah merupakan"tindakan yang tidak demokratik".
Katanya, dakwaan kerajaan bahawa kaum Melayu dan India bersetuju dengan dasar pendidikan tersebut hanya kerana Umno dan MIC menyokongnya adalah tidak benar kerana terdapat banyak badan dan pertubuhan yang mewakili kedua-dua kaum itu turut menyatakan membantah pelaksanaan dasar pendidikan ini.
Menghantar memorandum
Beliau juga hairan dengan tindakan kerajaan membuat keputusan yang menurutnya secara tidak demokratik kerana tidak mendengar pendapat sama ada dari dalam atau luar Parlimen.
Mahfuz, yang turut bersama Dr Yap dalam sidang media itu, berkata PAS dan Dong Jiao Zong mempunyai pendirian yang sama mengenai isu bahasa Inggeris ini.
"Kami tidak menolak pentingnya pelajar meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris, tetapi bukan dengan menjadikannya sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik," katanya.
Mahfuz, yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, menambah Pemuda PAS akan menghantar satu memorandum kepada kerajaan berhubung perkara itu dalam masa yang terdekat ini.
Sementara itu, Dr Yap berkata Dong Jiao Zong telahpun menghantar memorandum membantah dasar tersebut, kepada menteri pendidikan pada 8 Julai lalu, tetapi sehingga ini, belum mendapat sebarang reaksi.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now