Isu bahasa Inggeris: Kerajaan akan teruskan walaupun tanpa kata sepakat dalam BN
Kerajaan akan tetap meneruskan cadangannya untuk mengajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di semua jenis sekolah mulai tahun depan walaupun ia tidak mendapatkan kata sepakat daripada parti komponen Barisan Nasional (BN), kata Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamed.
Ditanya ditanya selepas mesyuarat pasca-Kabinet hari ini, sama ada cadangan itu akan ditangguhkan sekiranya parti-parti komponen BN tidak dapat memberi maklumbalas terhadap isu itu, Musa berkata: "Tidak, kita akan tetap melaksanakannya".
Sebelum ini, kerajaan berkata, dasar baru itu akan dilaksanakan di semua sekolah kebangsaan mulai tahun depan bagi mengatasi masalah kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di negara ini.
Kerajaan juga sebelum ini berkata akan menyerahkan kepada parti-parti komponen dalam BN untuk membincangkan secara terperinci perkara itu sebelum meluaskan pelaksanaan penggunaan bahasa Inggeris itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil.
Sabtu lalu, MIC, parti komponen BN yang mewakili kaum India, telah menyatakan persetujuan untuk melaksanakan dasar itu di SJKT selepas mengadakan perbincangan dengan pengerusi-pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah Tamil.
Tentangan hebat
Bagaimanapun, sebuah lagi parti komponen BN, MCA berkata pihaknya memerlukan lebih banyak masa untuk membincangkan perkara itu dengan pelbagai pihak berkaitan, sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.
Cadangan kerajaan untuk menggunakan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik telah menerima tentangan hebat, khususnya daripada persatuan pergerakan pendidikan Cina.
Menurut Musa lagi, dalam mesyuarat Kabinet hari ini, MCA belum lagi mengemukakan cadangan atau berbincang dengannya mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, katanya, MIC telahpun menulis surat kepadanya menyatakan pendirian parti itu dan memberi maklumbalas mengenai isu tersebut.
"Kita sedang menunggu maklumbalas daripada parti-parti komponen BN yang mewakili kaum Cina untuk membuat keputusan mengenainya. Kita tidak meletakkan sebarang jangka waktu," katanya.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now