BERITA

'SMS' jamin Mohsin tak sokong BN

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Mac 2010, 2:49 pagi

Satu SMS yang mendakwa bahawa ahli parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri - yang keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas - memberi jaminan tidak akan menyokong BN, kini disebar di kalangan pemimpin akar umbi Pakatan Rakyat di Perak.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ahmad Awang berkata, SMS tersebut juga menjelaskan sebab Mohsin keluar parti pada Rabu minggu lalu.

“Beliau ada hantar mesej pada beberapa orang yang dekat dengannya (di Bagan Serai). Beliau cuba beri perjelaskan sebab beliau mengambil tindakan (keluar parti) itu.

“Kononnya, walaupun sudah keluar parti, beliau memberi jaminan tidak akan menyebelahi BN (di parlimen),” kata Ahmad yang juga bekas naib presiden dan pesuruhjaya PAS Perak.

NONE Minggu lalu, selepas mengisytiharkan keluar parti, Ahmad memberikan tempoh tujuh hari kepada Mohsin - sehingga 10 Mac ini - untuk kembali kepada PKR atau mengosongkan kerusi parlimennya.

Ahmad dilaporkan berkata, jika Mohsin enggan memenuhi tuntutan tersebut, pihaknya akan menganjurkan solat hajat selama tujuh hari supaya Allah menghukumnya kerana khianat pada perjuangan.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad berkata, beliau telah melihat SMS tersebut dan akan memeriksa ketulenannya dahulu, sama ada benar-benar dihantar daripada Mohsin.

Bagaimanapun, tambahnya, sekiranya SMS itu tulen, Mohsin masih perlu mengumumkan perkara tersebut kepada orang awam, termasuk menyatakan sokongannya kepada Pakatan, walaupun bukan lagi sebagai ahli parti.

“Beliau kena umumkan di Bagan Serai, kena panggil pihak media. Saya boleh jadi pengendali majlis itu,” kata Ahmad yang memberikan laluan kepada Mohsin di Bagan Serai setelah dua penggal menjadi calon pembangkang.

Sementara itu,  Ahmad juga berkata, bantahan supaya Mohsin mengosongkan kerusi itu terus berkumandang melalui demontrasi di kawasan parlimen tersebut.

Semalam, katanya, sekurang-kurangnya 400 penduduk setempat mengadakan demonstrasi di sebuah rumah aktivis PAS di Alor Pongsu dalam kawasan tersebut.

Sementera diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menyelar tindakannya mahu menganjurkan solat hajat itu, Ahmad berkata, menteri itu “pandai-pandai tafsir” sendiri kenyatannya.

“Beliau kena faham, saya tidak ada kata (minta) dibinasakan atau dihancurkan (Mohsin). Sebelum memberi komen kena pastikan betul-betul (kenyataan saya).

“Saya minta Allah menghukum. Boleh jadi dalam bentuk ketakutan, rasa bersalah sehingga akhirnya beliau meletakkan jawatan. Allah Maha Tahu apa yang setimpal,” katanya.

Semalam, Jamil dilaporkan berkata, tindakan menganjurkan solat hajat supaya Allah menurunkan bencana kepada golongan seagaman adalah berdosa dan “menyalahgunakan agama demi kepentingan politik”

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.