BERITA

Tulang Besi dipanggil beri penjelasan

Salhan K Ahmad

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Mac 2010, 11:08 tengahari

Penulis blog PAS Abdul Rahman Talib dipanggil memberikan penjelasan berhubung aduan salah laku terhadap tiga pemimpin kanan parti itu yang dilaporkannya sebelum ini.

NONE Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Tulang Besi tampil di pejabat agung PAS di ibu negara kira-kira jam 2 petang tadi.

Beliau sebelum ini membuat laporan laporan salah laku itu terhadap timbalan mursyidul am, Datuk Haron Din, timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa dan pesuruhjaya Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

Bercakap kepada media hari ini, Abdul Rahman berkata beliau secara umumnya berpuas hati dengan proses merakam kenyataan yang dijalankan oleh setiausaha agung parti, Datuk Mustafa Ali.

"Setakat ini saya tengok semuanya ikut prosedur, tak ada sebab untuk saya tidak puas hati. Saya beri justifikasi kepada aduan saya dan (Mustafa) ambil nota dan beri komen beliau.

"(Mustafa) beri jaminan untuk putuskan sama ada aduan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat, sama ada akan diambil tindakan atau tidak," katanya.

Tambahnya lagi, keputusan sama ada aduan itu mempunyai merit untuk diketengahkan sebagai kes, hanya boleh diputuskan oleh Mustafa Ali.

"(Mustafa) beritahu, ini berdasarkan pindaan baru dalam perlembagaan parti tahun 2008. Jadi setiausaha agung bertindak seperti peguam negara dan dia berhak buat keputusan.

"Saya sedang cuba dapatkan apa kandungan pindaan ini dan akan dapatkan pandangan peguam," katanya lagi.

Tambahnya, beliau membuat aduan tersebut bukan atas dasar peribadi tetapi untuk menyelamatkan PAS.

Beliau dalam pada itu, juga menuntut supaya ketiga-tiga orang yang dinamakan dalam aduannya itu meminta maaf secara terbuka kepada ahli parti kerana didakwanya telah memburuk-burukkan parti dengan tindakan 'tikam belakang' mereka.

Sekiranya perkara ini tidak dibendung, katanya, beliau bimbang akan ada kesan lebih buruk kepada parti dan juga Pakatan.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah seorang naib presidennya Salahuddin Ayub.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.