Tindakan undang-undang jika main isu perkauman: Dr Mahathir

comments     Published     Updated

Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang memainkan isu perkauman berhubung penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik mulai tahun depan, kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

"Kalau mainkan isu-isu yang menyebabkan orang gelisah atau mungkin terlibat dengan kegiatan haram, kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara pecah tanah Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) di Nilai, Negeri Sembilan hari ini.

"Kalau mereka mendakwa kerajaan berhajat untuk menukar sekolah jenis kebangsaan Cina kepada sekolah kebangsaan atau buat dakwaan begitu, sedangkan ada undang-undang yang menghalang kerajaan dan Menteri Pendidikan dari menukar sekolah Cina kepada sekolah kebangsaan, kita akan ambil tindakan undang-undang," katanya.

Menurut laporan agensi berita nasional, Bernama , Dr Mahathir berkata kerajaan tetap akan melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris mulai tahun depan "tetapi bagaimana ia akan dilaksanakan akan ditentukan kemudian".

Katanya, parti komponen Barisan Nasional telah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pandangan mereka akan diambil kira dalam membuat keputusan mengenai isu itu.

Laporan akhbar hari ini menyebut, pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) berjanji tidak lagi akan membuat sebarang kenyataan bercanggah berhubung isu tersebut.

Pagi semalam, Perdana Menteri menemui pemimpin tertinggi parti-parti komponen Cina dalam BN untuk mendengar penjelasan mereka berhubung isu penggunaan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Surat rayuan

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) George Chan, dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee.

MIC, parti komponen BN yang mewakili kaum India, telahpun menyatakan persetujuan untuk melaksanakan dasar itu di SJKT selepas mengadakan perbincangan dengan pengerusi-pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah Tamil.

Cadangan kerajaan untuk menggunakan bahasa Inggeris bagi matapelajaran Sains dan Matematik telah menerima tentangan hebat, khususnya daripada persatuan pergerakan pendidikan Cina, termasuk Dong Jiao Zong.

Selain itu, lebih 20 pertubuhan yang dianggotai pendidik, ahli bahasa dan penulis dari kalangan kaum Melayu dan Cina juga telah menghantar satu rayuan kepada Dr Mahathir meminta kerajaan supaya menggugurkan cadangan itu.

Dalam kenyataan satu mukasurat melalui faksimili kepada pejabat Dr Mahathir, mereka berkata satu persetujuan telah dicapai dalam satu mesyuarat tertutup yang dihadiri wakil pertubuhan-pertubuhan terebut dii Kuala Lumpur pada 2 Julai lalu.

Antara persatuan Melayu yang turut menghadiri mesyuarat itu ialah GAPENA, PENA, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Penterjemah Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Persatuan Suluh Budiman dan Persatuan Pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Berikutan itu, parti-parti pembangkang dalam Barisan Alternatif (BA) merancang untuk melancarkan kempen penerangan mengenai isu bahasa Inggeris itu ke seluruh negara bagi menerangkan mengapa mereka menentang pelaksanaannya.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In