Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelajar asing ditahan ISA, isteri, keluarga tersiksa
Diterbitkan:  Mar 17, 2010 1:51 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Seramai 16 ahli parlimen Pakatan Rakyat hari ini mengeluarkan kenyataan media, menuntut kerajaan menghentikan kezaliman terhadap tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

NONE Menurut mereka dalam kes terbaru, 12 orang pelajar di institusi pengajian tinggi yang ditahan pada 21 Januari lalu dinafikan hak untuk bertemu peguam walaupun telah beberapa kali dipohon

Ahli parlimen Pakatan Rakyat itu juga menyokong desakan Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) agar ISA dimansuhkan dan bukannya dipinda.

Mereka juga memberi amaran kepada Menteri Dalam Negeri bahawa kes penangkapan itu akan menjadi bebanan dan memburukkan imej Malaysia di mata dunia .

“Malaysia yang selama ini mempromosikan bahawa negara kita adalah destinasi pelancongan dan sebagai hub pendidikan pelajar luar negara khususnya dari negara timur tengah telah tercemar dan menakutkan mereka kerana adanya undang-undang drakonian iaitu ISA,” kata kenyataan itu.

Ahli parlimen itu juga mendakwa tindakan kerajaan yang mempunyai elemen penderaan emosi dan psikologi terhadap isteri mangsa ISA adalah bertentangan dengan Konvensyen Antarabangsa, CEDAW yang menghendaki setiap negara di dunia menghentikan sebarang bentuk penderaan dan keganasan terhadap wanita.

NONE Dalam kes berkenaan, 12 orang pelajar  yang ditahan dan dituduh sebagai pengganas itu kemudianya dibebaskan dan secepat kilat dihantar pulang ke negara masing-masing tanpa dimaklumkan  kepada isteri dan ahli keluarga mereka.

Mereka juga tidak dibenarkan berjumpa ahli keluarga mereka sebelum dihantar pulang.

Isteri-isteri tersebut adalah Bashirah isteri kepada Luqman Abdul Salam yang dihantar pulang pada 13 Mac lalu dan Khalidah isteri kepada Abdul Alhi Bolajoko Uthman yang dihantar pada 14 Mac. Kedua-dua mereka dihantar pulang ke Nigeria.

Ummu Huzaifah isteri kepada Sheikh Aiman warganegara Syria, seorang pelajar PhD Universiti Putra Malaysia hanya dapat bercakap dengan suaminya melalui telefon sejurus sebelum suaminya berlepas pada 16 Mac lalu.

 

“...mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap pasukan polis dan jabatan imigresen Malaysia yang membiarkan ahli keluarga mereka yang ditahan bersendirian terumbang ambing di Malaysia.

azlan “Mereka tidak mempunyai keluarga di sini bahkan mereka datang kerana menemani suami mereka untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia,” kata kenyataan itu.

“Alangkah terkejutnya mereka apabila tiba-tiba suami mereka ditahan tanpa dibenarkan membela diri terus dihantar pulang dan meninggalkan mereka bersendirian dengan anak-anak di sini.

“Mereka adalah wanita yang mempunyai hak untuk dilayan seperti manusia dan bukan dibuat sesuka hati oleh Menteri Dalam Negeri,” kata ahli parlimen itu lagi.

Sehubungan itu, mereka menuntut kerajaan menanggung kebajikan isteri-isteri pelajar-pelajar yang ditinggalkan itu.

Kerajaan juga didesak menguruskan penghantaran mereka ke negara asal jika mereka ingin pulang.

Ahli parlimen Pakatan Rakyat itu juga mahu kerajaan memohon maaf atas kesilapan menahan suami pelajar berkenaan dan membayar gantirugi pengajian suami mereka yang terhenti disebabkan pengkapan ISA.

 

ADS