BERITA

Tiada kompromi jika bocor maklumat ketenteraan

Diterbitkan
Dikemaskini 17 Mac 2010, 11:21 tengahari

Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menjejaskan sistem pertahanan negara termasuk menggunakan Dewan Rakyat untuk membocorkan maklumat ketenteraan demi kepentingan masing-masing.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan amaran itu ketika menjawab soalan tambahan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berhubung keselamatan perairan negara, pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

NONE Bung Mokhtar mahu tahu adakah keselamatan negara terjamin daripada ancaman musuh luar tanpa kapal selam negara beroperasi mengikut jadual yang ditetapkan. Ahmad Zahid menjelaskan keselamatan negara termasuk di perairan pada ketika ini berada di tahap selamat dan ia disebabkan beberapa faktor.

"Pertama, kerana kita ada perjanjian dengan negara-negara jiran dan juga negara sahabat untuk tidak ada permasalahan dari segi pertahanan.

"Kedua ialah aset-aset kita dalam bidang ketenteraan terutamanya aset-aset strategik adalah digunakan untuk tujuan pengawasan, bukan tujuan provokasi," jelasnya.

Justeru, katanya, pembocoran maklumat ketenteraan untuk kepentingan organisasi mahupun individu hanya akan menjejaskan lagi sistem pertahanan negara.

sepangar bay malaysia navy scorpene submarine port facility 140509 01 Di samping itu, beliau juga berkata, negara akan mendapat kapal selam kedua dalam tempoh terdekat sebagai aset strategik tambahan di samping kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman.

Terdahulu, ketika menjawab soalan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) tentang masalah KD Tunku Abdul Rahman yang tidak boleh menyelam, Ahmad Zahid berkata, bukan semua isu ketenteraan dan aset-aset strategik boleh dipolemik.

"Ia boleh mendedahkan kekuatan dan kelemahan negara kepada pihak luar dan juga musuh. Segala masalah akan ditangani sebaiknya oleh kerajaan tanpa mengakibatkan maklumat penting jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.