BERITA Malaysiakini

Ketua Pengarang kena gantung dua minggu

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Akhbar harian Cina, China Press hari ini menggantung ketua pengarangnya, Teoh Yong Khoon selama dua minggu berikutan keputusannya menyiarkan laporan peletakkan jawatan Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara, Sabtu lalu.

china press apology notice 190310 Akhbar itu juga dalam permohonan maaf sebanyak empat perenggan di muka hadapannya hari ini berkata mereka menyesali tindakan berkenaan.

"Laporan yang tidak tepat itu mengakibatkan kesulitan kepada perdana menteri, kementerian dalam negeri dan menterinya, ketua piolis negara serta timbalannya. Perkara itu tidak dijangkakan dan kami amat menyesalinya.

“Justeru, kami ingin memohon maaf kepada mereka yang terbabit,” kata laporan itu.

Semalam, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz dalam satu kenyataan akhbar berkata pihaknya berpuas hati dengan penjelasan bertulis China Press mengenai isu berkenaan.

Sehubungan itu, menurut Ahmad Fuad, KDN tidak akan mengambil sebarang tindakan kecuali menyerahkan kepada China Press untuk mengambil tindakan dalaman terhadap pengarang yang bertanggung jawab.

NONE Pada laporannya Sabtu lalu, China Press menyiarkan laporan bahawa Musa ( kanan ) telah mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beberapa jam selepas berita itu disiarkan, Musa dan Hishamuddin segera menafikannya.

Bagaimanapun, Hishamuddin selepas perasmian Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 oleh Yang di-Pertuan Agong, Isnin lalu mendedahkan bahawa rombakan barisan pimpinan tertinggi pasukan polis akan dilakukan.

Katanya lagi, rombakan berkenaan bukan sahaja akan membabitkan KPN tetapi juga pegawai kanan yang lain, termasuk empat pengarahnya.