Ku Li bukan boleh dijual beli

   

Aggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan beliau antara lapan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai pakatan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang pada 16 September 2008.

tengku razaleigh speech 110310 02 "Saya tak mahu komen pasal ini, 48 tahun saya bersama Umno. Apa yang didakwa itu sebagai satu cerita dongeng," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Anggota Parlimen Bebas bagi Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim telah menamakan lapan Anggota Parlimen BN di Dewan Rakyat semalam, dengan mendakwa mereka bersedia menyertai pakatan.

Tengku Razaleigh ( kanan ) berkata, jika dakwaan itu benar, beliau kini pasti sudah memegang satu jawatan besar dalam Parti Pakatan Rakyat (PKR) yang dipimpin Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fantasi cerita dongeng

Dalam dakwaan itu, Zahrain telah menamakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau), Datuk Enchin Majimbun (Bebas-Sepanggar), Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) dan seorang daripada Timbalan Speaker juga tersenarai dikatakan akan melompat menyertai pembangkang.

Beliau berkata disebabkan dakwaan itu ibarat satu cerita dongeng, iaitu sebuah cerita yang direka mengikut fantasi pembangkang, beliau tidak mahu membuat sebarang komen terhadap dakwaan yang tidak betul itu.

Tengku Razaleigh juga menafikan beliau ada didatangi pihak berkenaan agar keluar BN untuk menyertai PKR bagi membolehkan pembangkang membentuk kerajaan persekutuan kira-kira tujuh bulan selepas pilihan raya umum ke-12.

Malaysiakini
terkini untuk anda