Rakyat M'sia diminta tidak lawat Indonesia: Syed Hamid

comments     Published     Updated

Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak melawat Indonesia berikutan wujudnya sentimen anti-Malaysia di negara itu, kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.

"Saya suka menyeru rakyat Malaysia, dalam suasana yang panas macam ini tak usah berjalan ke tempat-tempat yang timbulkan kesusahan, perasaan, emosi...," katanya.

Agensi berita nasional, Bernama memetik beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar hari ini bahawa sentimen anti Malaysia terus menular di kalangan rakyat Indonesia apabila media cetak dan penyiaran republik itu memainkan isu penghantaran pulang pendatang izin dari negara ini.

"Jangan melawat (Indonesia) kecuali perlu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Patritisme Asean anjuran Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) di Melaka hari ini.

Syed Hamid berkata, Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Mohd Yusof Abu Bakar menemui Gabenor Medan pagi ini untuk berbincangkan isu anti-Malaysia bagi usaha membendungnya.

"Kita juga berterima kasih kepada Indonesia yang yang telah membebaskan 19 rakyat Malaysia yang ditahan di Medan, Jumaat lalu,' katanya.

Perasaan benci

Pelancong Malaysia itu, yang ditahan polis Indonesia kerana dikatakan tidak membawa pasport, dilaporkan turut dimaki-hamun.

Syed Hamid berkata perasaan itu menular kerana ahli politik di republik itu mengapi-apikan sentimen rakyat, selain media Indonesia tidak memberitahu perkara sebenar mengenai penghantaran pulang pendatang terbabit.

Syed Hamid berkata media di Indonesia menulis perkara yang membawa perasaan benci kepada Malaysia seolah-olah negara ini tidak mempunyai sifat perikemanusiaan.

"Saya harap perkara macam ini dapat dihentikan. Jangan ambil soal hantar balik, kenapa tak kata berapa ramai rakyat Indonesia yang telah datang bekerja di sini, dapat tempat dan dapat menghantar pulang duit simpanan setiap bulan ke negara mereka.. ini yang patut diketengahkan," katanya.

Beliau berkata, Malaysia tidak mengusir rakyat Indonesia yang berada di sini dan mereka masih menjadi golongan teramai (pekerja asing) yang bekerja di sini.

Menurutnya, pekerja yang dihantar balik merupakan mereka yang memasuki Malaysia secara haram yang turut melibatkan rakyat dari negara lain.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In