mk-logo
Berita
'Sultan Kelantan masih gering'
Diterbitkan:  Mar 24, 2010 11:54 AM
Dikemaskini: Mar 25, 2010 1:42 AM

Sultan Kelantan Sultan Ismail Yahya Petra masih gering dan tidak boleh menjalankan tugas berhubung hal ehwal negeri mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan, demikian menurut anakanda baginda yang juga Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

Tengku Muhammad Faris Petra bertitah bahawa mengikut klausa (1)(b) Artikel 22A undang-undang itu, baginda yang telah dipilih menjadi Pemangku Raja pada 24 Mei tahun lepas, kini menjalankan tugas-tugas pemerintah dan Yang Dipertuan Negeri sehingga Sultan Ismail Petra sembuh.

Dalam satu titah yang disampaikan oleh Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad pada satu sidang akhbar di Istana Balai Besar di Kota Bharu hari ini,  baginda menegaskan bahawa sebarang kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak tanpa terlebih dahulu mendapat laporan perubatan daripada panel doktor pakar yang telah dilantik adalah tidak tepat, tidak sah dan tidak terpakai.

"Kita telah menitahkan panel doktor-doktor pakar yang telah dilantik untuk membuat pemeriksaan kesihatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan dan mengangkat maklum kepada kita dalam tempoh secepat mungkin bagi mengelakkan sebarang kekeliruan," titah Tengku Muhammad Faris Petra.

Baginda juga bahawa bertitah seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Januari lepas, isu mengenai kesultanan Kelantan hendaklah diputuskan oleh Majlis Perajaan Negeri dan bukannya oleh mana-mana individu di luar majlis berkenaan.

"Sehingga Majlis Perajaan Negeri bersidang dan membuat keputusan mengenai perkara tersebut, kita selaku Pemangku Raja Kelantan tetap kekal sebagai Pemangku Raja Kelantan dan akan terus menjalankan fungsi-fungsi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan mengikut perlembagaan negeri," titah baginda.

- Bernama

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini