Seorang ahli parlimen pembangkang hari ini mendakwa bahawa langkah untuk menaikkan harga petrol, membayangkan kerajaan sedang melalui krisis ekonomi yang serius sehingga terpaksa membebankan rakyat.

Ahli Parlimen Keadilan bagi Kemaman, Terengganu, Abdul RahmanYusuf berkata, kecenderungan kerajaan menggunakan wang Petronas untuk menyelamatkan syarikat gergasi negara seperti MAS, Renong dan Proton telah menjejaskan kedudukan kewangan syarikat minyak negara itu.

"Akibat kelemahan pengurusan kerajaan sendiri, kini rakyat terpaksa menanggung akibat kenaikan harga minyak," katanya ketika mengulas laporan akhbar Business Times , Singapura, mengenai kemungkinan kerajaan Malaysia menaikkan harga petrol hujung minggu ini.

Menurut laporan itu, terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa kenaikan harga kali ini yang ketiga dalam tempoh setahun adalah sekitar enam peratus, menjadikan harga petrol RM1.40 se liter.

Pada tahun 2001, harga petrol dinaikkan kepada RM1.20 seliter, selepas lebih satu dekad bertahan pada paras RM1.10 seliter. Kenaikan kali terakhir ialah Mei lalu, di mana harga petrol dinaikkan dua sen menjadi RM1.32 sen.

Abdul Rahman berkata, adalah tidak wajar bagi kerajaan menaikkan harga petrol dengan alasan "tidak dapat lagi menanggung subsidi" berikutan kenaikan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa, kerana Malaysia merupakan sebuah negara pengeluar minyak.

Menikmati harga murah

"Kita tentu boleh memahami kenaikan harga petrol sekiranya Malaysia adalah negara pengimport bahan bakar," katanya kepada malaysiakini .

"Sepatutnya, rakyat dapat menikmati harga lebih murah kerana keuntungan hasil minyak tersebut ketika berada di paras tinggi, dan bukan sebaliknya," tegas Abdul Rahman, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Keadilan.

Malahan, katanya, minyak dari Malaysia berkualiti tinggi yang digunakan untuk eksport, berbanding dengan minyak yang diimport untuk kegunaan tempatan.

"Bagi saya, peningkatan harga minyak ini adalah petanda jelas penderitaan rakyat akibat tindakan kurang bijak kerajaan dalam menyelamatkan kroni-kroni tertentu," tegasnya lagi.

Sementara itu, presiden Persatuan Pendidikan dan Kajian Pengguna Malaysia (Era), Marimuthu Nadason, berkata apa saja alasan yang diberikan oleh kerajaan untuk menaikkan harga petrol dalam tempoh terdekat ini adalah "tidak munasabah" sama sekali.

Katanya, rakyat sudah terlalu sebati dengan alasan kerajaan seperti "kenaikan harga petrol tidak membebankan rakyat" atau "harga petrol di negara ini masih lebih murah berbanding di negara-negara lain".

Meningkatkan inflasi

Katanya, kenaikan gaji tidak akan memberikan apa-apa makna kerana kekerapan kenaikan harga petrol akan menimbulkan kesan rantaian kepada semua harga barangan dan meningkatkan inflasi.

"Tidak ada apa lagi yang rakyat boleh lakukan, melainkan belajar menjadi pengguna yang bijak untuk mengelakkan pembaziran," katanya.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Radio Teksi Selangor dan Wilayah Persekutuan, Lim Kow, ketika dihubungi berkata kenaikan harga pertrol merupakan "mimpi ngeri" pemandu teksi.

"Sudahlah kami tertekan dengan dengan peningkatan kos hidup yang melambung sejak akhir-akhir ini, permintaan kami untuk menaikkan tambang teksi pula amat sukar diterima kerajaan."

"Bagaimanakah 15,000 pemandu teksi di ibunegara akan dapat terus hidup jika keadaan ini berterusan?" soal Lim Kow.

Awal bulan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa kerajaan mungkin terus menaikkan harga minyak kerana terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM4.4 billion.

Katanya, Malaysia menggunakan 550,000 tong minyak sehari, menyebabkan hanya 100,000 tong dapat dieksport.