Nik Aziz harap pemimpin PAS berbaik sangka

   

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat meminta semua pemimpin PAS terus berbaik sangka antara satu sama lain supaya parti itu terus utuh bagi menjayakan misi bersama Pakatan Rakyat.

“Semoga kerjasama dan husnul-zhon (bersangka baik) daripada semua kepimpinan, saya yakin PAS akan terus menjadi parti yang perkasa.

“Dan insya-Allah PAS Kelantan bersama-sama PAS di seluruh negara akan terus utuh bersama-sama rakan-rakan Pakatan dalam mendepani cabaran politik baru di Malaysia hari ini,” katanya.

Dalam satu kenyataan sempena pelantikan semulanya sebagai mursyidul am PAS hari ini, Nik Aziz mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan parti yang memberikan kepercayaaan

kepadanya bagi terus memikul “amanah yang berat” itu.

“Namun, saya anggap ia sebagai ketentuan Allah kerana kemampuan saya untuk menjalankan tugas ini amat bergantung kepada masa dan keupayaan, serta keadaan kesihatan saya,” katanya yang baru menjalani pemeriksaan doktor di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di Kota Bharu.

Menteri besar Kelantan itu berkata, bagi menghormati keputusan majlis syura ulama PAS - badan tertinggi dalam parti - beliau tidak mempunyai sebarang halangan bagi menerima pelantikan itu, lebih-lebih lagi bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

“Menyedari harapan ahli dan semangat serta kepercayaan majlis syura, maka dengan lafaz bismillah , saya menerima amanah ini dengan doa agar Allah subhanahu wataala sentiasa memandu saya dalam mengemudi hala tuju parti,” katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda