Komunis Melayu warisan Bahaman
Demi keghairahan mencapai kemerdekaan, dia menyertai semua gerakan politik dan pasukan ketenteraan. Mula-mula bersama Pasukan Sukarela yang ditubuhkan Inggeris sebagai satu strategi sabotajnya bagi memudahkan kemasukan Jepun sewaktu Perang Dunia ke-2.
Waktu itu, Kesatuan Melayu Muda (KMM) percaya Jepun beria-ia ingin menghalau imperalisme Barat untuk bangsa Asia tetapi rupa-rupanya ia hanya helah. Kemudian dia menyertai pasukan tentera Jepun, Hai Ho, untuk menyokong gerakan rakyat anti-kependudukan Jepun.
Apabila Inggeris kembali selepas kekalahan Jepun pada 1945, dia menyertai Partai Komunis Malaya (PKM) untuk menentang penjajah itu. Selain KMM, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API), dia juga pernah menyertai Umno.
Tetapi Abu Samah Mohamad Kassim, anggota markas besar Rejimen ke-10 dan juga anggota jawatankuasa pusat PKM, bukan golongan kiri biasa. Golongannya ialah pasukan gerila Melayu yang tersedut masuk ke hutan demi menentang penjajahan Jepun dan Inggeris, kemudiannya terserap dalam PKM.
Abu Samah ialah warisan tokoh pejuang bangsa terkenal, Datuk Bahaman Tok Noh, seorang pembesar berlapan Pahang, yang melancarkan gerakan bersenjata menentang pengaruh Inggeris. Bahaman yang berasal dari Sumatera, terlibat dalam politik tempatan di Pahang dan Selangor. Beliau terlibat dalam menabalkan kesultanan di dua negeri itu yang kekal hingga ke hari ini.
Perang Bahaman, antara 1891 hingga 1895, bukan sahaja melibatkan dua negeri di Pantai Timur, Terengganu dan Kelantan. Malah ia turut meledakkan semangat anti-Inggeris di daerah-daerah di Selangor.
Menurut strategi Bahaman, Pahang dibahagikan kepada lima kawasan perang. Bahaman sendiri menguasai Temerloh, Bentong hingga ke sempadan Selangor; Mat Kilau di Ulu Pahang, Tok Gajah di Pulau Tawar, Panglima Muda Jempul di Pekan, dan Sultan Ahmad di Chenor.
Demi keghairahan mencapai kemerdekaan, dia menyertai semua gerakan politik dan pasukan ketenteraan. Mula-mula bersama Pasukan Sukarela yang ditubuhkan Inggeris sebagai satu strategi sabotajnya bagi memudahkan kemasukan Jepun sewaktu Perang Dunia ke-2.
Waktu itu, Kesatuan Melayu Muda (KMM) percaya Jepun beria-ia ingin menghalau imperalisme Barat untuk bangsa Asia tetapi rupa-rupanya ia hanya helah. Kemudian dia menyertai pasukan tentera Jepun, Hai Ho, untuk menyokong gerakan rakyat anti-kependudukan Jepun.
Apabila Inggeris kembali selepas kekalahan Jepun pada 1945, dia menyertai Partai Komunis Malaya (PKM) untuk menentang penjajah itu. Selain KMM, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API), dia juga pernah menyertai Umno.
Tetapi Abu Samah Mohamad Kassim, anggota markas besar Rejimen ke-10 dan juga anggota jawatankuasa pusat PKM, bukan golongan kiri biasa. Golongannya ialah pasukan gerila Melayu yang tersedut masuk ke hutan demi menentang penjajahan Jepun dan Inggeris, kemudiannya terserap dalam PKM.
Abu Samah ialah warisan tokoh pejuang bangsa terkenal, Datuk Bahaman Tok Noh, seorang pembesar berlapan Pahang, yang melancarkan gerakan bersenjata menentang pengaruh Inggeris. Bahaman yang berasal dari Sumatera, terlibat dalam politik tempatan di Pahang dan Selangor. Beliau terlibat dalam menabalkan kesultanan di dua negeri itu yang kekal hingga ke hari ini.
Perang Bahaman, antara 1891 hingga 1895, bukan sahaja melibatkan dua negeri di Pantai Timur, Terengganu dan Kelantan. Malah ia turut meledakkan semangat anti-Inggeris di daerah-daerah di Selangor.
Menurut strategi Bahaman, Pahang dibahagikan kepada lima kawasan perang. Bahaman sendiri menguasai Temerloh, Bentong hingga ke sempadan Selangor; Mat Kilau di Ulu Pahang, Tok Gajah di Pulau Tawar, Panglima Muda Jempul di Pekan, dan Sultan Ahmad di Chenor.
Panglima perang
Pada awalnya pasukan Bahaman mencapai kemenangan tetapi lama-kelamaan beransur tewas dan memaksanya bergerak di ulu Kelantan serta kemudian Kuala Terengganu untuk memulihkan kekuatan.
Di sini beliau disambut oleh ulama besar Terengganu dan anggota majlis mesyuarat kerajaan, Syed Abdul Rahman atau lebih popular Tok Ku Paloh (sebahagian kawasan itu sekarang dijadikan tapak Muzium Terengganu penulis).
Tok Ku Paloh adalah guru kepada Haji Abdul Rahman Limbong yang kemudiannya melancarkan penentangan terhadap Inggeris di Terengganu. Bahaman ditawarkan ratusan anggota baru, termasuk beberapa panglima perang, selain bekalan, senjata dan peluru. Pada Jun 1894, Bahaman kembali ke Pahang melancarkan serangan baru terhadap Inggeris.
Menyedari sokongan di dua negeri di utara dan timur Pahang itu, Inggeris melobi sultan Terengganu dan Kelantan agar membuang Bahaman ke Thailand. Pada 1895, beliau bersama 60 pengikutnya dibuang daerah di Chiangmai, kawasan paling utara di Thailand, dan meninggal dunia serta dikebumikan di sana pada 1913.
Kubur Bahaman dipercayai terletak di sebuah bukit tidak jauh dari terowong jalan keretapi Khuntan, Thailand. Setelah Bahaman meninggal dunia, anaknya Tok Mat Lela kembali semula ke Semantan, tempat asal mereka, dan meninggal dunia pada 1944, ketika kependudukan Jepun.
Sementara seorang lagi anak (daripada 13 adik-beradik) tokoh pejuang Pahang itu, Datuk Mohamad dilantik sebagai penghulu Semantan dalam lingkungan tahun 1920-an. Beliau bagaimanapun dibuang daerah ke Selangor kerana didapati mendalangi gerakan bersenjata anti-Inggeris, antaranya menyerang balai polis, mempatih, menyebar surat-surat menentang penjajah dan merampas gudang garam milik saudagar Inggeris.
Mohammad Kassim Osman, ayah Abu Samah, merupakan seorang anggota gerakan bersenjata ini. Beliau meninggal dunia akibat diracun oleh tali barut Inggeris. Haji Daud, bapa Osman, pula merupakan sepupu Datuk Bahaman.
'Komunis' Melayu
Abu Samah dilahirkan pada 1926. Dalam lingkungan usia 10 atau 11 tahun, beliau sudah merapati akinya Daeng Busu dan datuknya, termasuk Tok Mat Lela yang pulang dari buangan di Chiangmai.
Sepupu inilah yang menyarankan beliau menyertai Pasukan Sukarela sebagai penghubung dengan aktivis-aktivis KMM dalam pasukan itu. Bagaimanapun usaha ini gagal apabila Jepun, yang kononnya berusaha mendapatkan kemerdekaan negara melalui KMM, mengharamkan kesatuan itu.
Abu Samah kemudiannya menyertai gerakan menentang Jepun. Ia bermula dengan kematian penghulu Semantan, cucu Datuk Bahaman, akibat diseksa tentera dari negara matahari terbit itu. Kematian ini membangkitkan perasaan antipenjajah yang besar di daerah tengah Pahang. Penghulu Maidin didapati menyeludup beras kepada gerakan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA).
Walaupun mendapat kedudukan istimewa kemudiannya dalam pasukan Hai Ho di Singapura, perasaan anti-Jepunnya sangat tebal, lalu Abu Samah meninggalkan pasukan itu pada Januari 1945, selepas kematian abangnya Mohamad Yassin sebulan sebelumnya di tangan tali barut penjajah itu.
Beliau mula menyusun gerakan menentang Jepun, termasuk mobilisasi massa, seperti rapat umum yang melibatkan ribuan penduduk di sebuah ladang dan juga perarakan massa pada waktu malam di bandar Karak.
Gerakan kiri
Selepas Inggeris menawan kembali Malaya, Abu Samah menyertai PKMM, mula-mula di Setapak, Kuala Lumpur pada 1946 kemudian di kampung halamannya, Semantan. Selepas itu, beliau dipilih menjadi setiausaha Pemuda Umno cawangan kampung berkenaan.
Beliau bergerak cergas melalui Umno sehingga terputus hubungan dengan gerakan-gerakan kiri. Tetapi pada Mac 1948, beliau secara rasmi menyertai PKM.
Selepas perang dunia ini, semangat menuntut kemerdekaan semakin berkobar-kobar, khususnya kumpulan-kumpulan kiri. Mereka meneriakkan 'Merdeka', sementara Umno masih dengan slogan lama, 'Hidup Melayu.'
Bagaimanapun ramai juga mereka yang berhaluan kiri, kira-kira 75 peratus daripada 600 orang, menyertai Umno di kawasan Abu Samah. Ini menyebabkan Inggeris mula melancarkan gerakan melumpuhkan perjuangan rakyat.
Penyertaannya dalam perarakan Hari Pekerja di Mentakab pada tahun itu kurang disenangi beberapa pihak, termasuk pemimpin Umno tempatan, selain dua perisik kerajaan dan ketua polis daerah berbangsa kulit putih. Abu Samah memilih jalan untuk tidak terlalu menampakkan diri.
Pada penghujung bulan Mei 1948, seorang anggota jawatankuasa pusat PKM mengadakan kem latihan di Lubuk Kawah, Temerloh dan merancang strategi lebih tersusun gerakan bersenjata bagi orang Melayu. Tokoh-tokoh utama Jabatan Kerja Melayu parti itu seperti Abdullah CD, Rashid Maidin, Kamarulzaman Teh, Wahi Anuar dan Musa Ahmad turut hadir.
Kader-kader dari seluruh Malaya turut serta, 36 orang semuanya dengan 10 laras senapang. Apabila penjajah mengisytiharkan Darurat tahun itu, kumpulan yang dilatih ini akhirnya dikenali Rejimen ke-10 PKM yang diketuai Alang Kassim, mula bergerak di seberang Temerloh, Pahang.
Memoir politik
Dalam sekolah latihan ini, tiga kandungan asas yang diajar termasuklah masalah politik semasa waktu itu, cara-cara menggerakkan rakyat dan latihan ketenteraan.
"Sekolah latihan ini cukup berhasil bagi menghadapi perubahan situasi (politik) selanjutnya," akur Abu Samah dalam memoir politik tulisannya sendiri, Sejarah dan Perjuangan Kemerdekaan .
Bagaimanapun, Darurat juga merencatkan gerakan rejimen ini, khasnya selepas Kamarulzaman tertangkap pada 20 Jun 1948 dan dikenakan hukuman mati. Beliau bagaimanapun terselamat daripada hukuman ini apabila diampun oleh Sultan Pahang.
"Perisytiharan Darurat sudah memasuki bulan kedua, tapi pihak kami masih tidak tahu apa nak buat," tulis Abu Samah. "Askar, polis dan ejen perisik mulai muncul di pekan dan kampung."
Pada Jun 1949, Platun 5 rejimen ini dirancang. Musa mencadangkan kepada Abu Samah agar menyertai platun ini sebagai perajurit seksyen politik.
"Kehidupan ketenteraan dalam Platun 5 pada mulanya tidak menyeronokkan disebabkan pilih kasih Musa dalam melantik anggota markas platun yang tidak mempunyai semangat tanggungjawab yang baik, tidak kuat semangat disiplin dan tidak mempunyai moral dan budaya yang boleh dijadikan contoh teladan oleh perajurit," tulis beliau secara jujur dalam karya penting ini.
"Tetapi memikirkan demi usaha revolusi dan kemerdekaan tanahair, saya sempurnakan pasukan ini (dengan bantuan kawan-kawan). Kami mulai aktif, hari-hari membawa kawan-kawan berlatih ketenteraan, menyusun kawalan, mengajar kebudayaan, memandu kawan-kawan meronda ke kampung dan ikut serta membantu massa rakyat menumbuk padi dan pelbagai kegiatan lagi."
Platun Teladan
Tidak lama selepas platun ini dibentuk, pada bulan September tahun yang sama, ia bergabung dengan platun-platun 1, 2 dan 4 bagi membentuk Kompeni A Rejimen ke-10 di sebuah hutan kecil di Kampung Songsang. Sasarannya untuk mengadakan perarakan jauh ( long march ) ke utara Pahang.
Kira-kira April 1952, Abdullah CD selaku komisar politik Rejimen ke-10 sampai di kawasan operasi Abu Samah di Semantan, sementara Rashid Maidin yang berjaya melepaskan diri dari tahanan Tajung Beruas, Melaka juga berada di situ. Setelah bertemu setiausaha agung PKM, Chen Ping, Abdullah menjadikan Semantan sebagai ibu pejabat markas besar rejimen ini.
Dalam perayaan menyambut ulang tahun ketiga tertubuhnya Rejimen ke-10, Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) pada 21 Mei 1952, Abu Samah dianugerahkan gelaran kehormat 'Pahlawan'. Turut dianugerahkan ialah 13 lagi perajurit, termasuk pingat 'Serikandi' kepada wanita.
Platun 5 juga mendapat penghargaan sebagai 'Platun Teladan' dan menerima wang serta surat-surat kepujian. Anugerah ini diberikan atas jasa-jasa besar mereka di medan perang, memobilisasi rakyat dan hasil-hasil yang berkesan memajukan gerakan anti-Inggeris.
Ia termasuk menjadikan kawasan sekitar bandar Temerloh pangkalan-pangkalan gerila, menundukkan pasukan African Rafles dari Kenya (yang diimport Inggeris), bekerjasama dengan Rejimen Askar Melayu yang patriotik, memecahkan sekatan akibat pembentukan kampung-kampung baru di bawah rancangan Briggs dan memulihkan Umno bahagian Temerloh.
Pemulihan Umno itu dianggap penting apabila semua organisasi lain telah diharamkan Inggeris. Tinggal parti Melayu ini sahaja peluang untuk rakyat melancarkan kesedaran politik. Mereka berjaya memberikan kesedaran dan hasilnya, ahli-ahli Umno mula mengubah slogan 'Hidup Melayu' kepada 'Merdeka' slogan asal kemerdekaan yang diperjuangkan oleh nasionalis Melayu.
Dugaan dan kesengsaraan
Bagi melancarkan lagi gerakan antipenjajah Inggeris, jawatankuasa pusat PKM memutuskan supaya Rejimen ke-10 bergerak di sempadan Thailand-Malaysia sebagai pangkalan baru. Perarakan panjang ini tidaklah mudah, malah penuh dugaan dan kesengsaraan.
(Waktu itu, tindakan berpangkalan di sempadan ini dianggap strategik, Bagaimanapun, akhirnya ia didapati satu kelemahan PKM dan Rejimen ke-10, khususnya. Chen Ping, dalam satu wawancara awal tahun ini, mengaku rejimen ini seharusnya terus berpangkalan di Sementan atau kawasan tengah Pahang untuk terus membangkitkan kesedaran massa petani.)
Perpindahan ke utara, dan kemudiannya ke Selatan Thailand sehingga ke bandar Patani, tidaklah mudah. Mereka bekerja keras meyakinkan pendudukan setempat, khususnya berdepan dengan propaganda Inggeris memburuk-burukkan PKM.
Mereka terpaksa menjawab propaganda itu dengan teladan yang baik yang bertentangan dengan propaganda negatif itu. Mereka akhirnya mendapat kepercayaan sehingga berjaya menubuhkan banyak pangkalan kecil di serata tempat di Selatan Thailand.
(Ketika lawatan penulis di muzim Kampung Perdamaian 12, kem asal markas besar Rejimen ke-10, di daerah Sukhirin, Thailand, terdapat sebuah peta besar tetapi ringkas yang menunjukkan taburan pangkalan-pangkalan kecil rejimen ini).
Dari kem inilah tercetus idea perjanjian damai yang kemudiannya dimaterai pada 2 Disember 1989. Pada Februari 1985, Mokhtar Mahmud Baginda, yang berhubung dengan timbalan perdana menteri waktu itu Ghafar Baba, bertemu dengan Abu Samah di kem penyusun massa Kampung Sowo, tidak jauh dari Sukhirin.
Perjanjian damai
Bagaimanapun, dewan jawatankuasa pusat utara Malaya PKM mempunyai hujah lain berhubung usaha berdamai, walau markas besar Rejimen ke-10 dan dewan rendah Utara Malaya telah bersetuju. Selepas ini tiada keputusan diambil.
Pada 25 Jun 1987, Abdullah CD atas nama Rejimen ke-10 menulis surat kepada Ghafar, atas sifatnya timbalan perdana menteri, menyatakan persetujuan untuk berdamai. Surat persetujuan balas dari kerajaan Malaysia bertarikh 7 September tahun itu diterima.
Ia disusuli surat Abdullah pada 1 Oktober untuk menetapkan tarikh dan tempat berunding. Akhirnya satu tempat yang dipersetujui, termasuk oleh kerajaan Thailand, bersama dipilih. Ia diadakan di sebuah pangkalan desa Rejimen ke-10.
(Dalam perjanjian ini, PKM akhirnya diiktiraf oleh kedua-dua kerajaan itu sebagai sebahagian daya sejarah yang penting untuk mempercepatkan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957.)
"Mengenangi dan mempelajari kisah-kisah gemilang perjuangan mulia melawan imperalisme British yang hendak menakluki negeri Pahang yang dipimpin oleh nenek saya Datok Bahaman bin Tok Noh inilah yang telah mengilhamkan saya mewarisi tradisinya dengan menyambung cita-cita dan wawasannya bangkit berjuang melawan pendudukan imperalisme British yang tercokol di negara ini demi untuk kemerdekaan dan pembebasan bangsa, agama dan tanahair tercinta!" tulis Abu Samah mengakhiri buku bersejarah lagi penting ini, tetapi sukar diperolehi di negaranya sendiri!
FATHI ARIS OMAR menulis kolum 'Tiada Noktah' dalam Malaysiakini.com. Tulisan ini diolah daripada memoir politik karya Abu Samah sendiri, Sejarah dan perjuangan kemerdekaan (1996). Beliau kini menetap di kem asal Rejimen ke-10 PKM di sempadan Malaysia-Thailand, tidak jauh dari daerah Sukhirin. Penulis melawat kem ini Mei lalu di Perkampungan Damai (Ban Chulabhorn Pattana 12), yang kini dijadikan destinasi pelancongan.

