Kerajaan tidak berhasrat untuk menjual ekuitinya dalam Proton Holdings Berhad kerana tidak mahu melihat syarikat pengeluar kereta nasional itu dikuasai syarikat asing, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung berkata, buat masa ini, Proton sedang mengadakan perbincangan mengenai kemungkinan menjalin usaha sama dengan beberapa pengeluar peralatan tulen (OEM) dari segi produk dan pemasangan.
Bagaimanapun, beliau berkata, perbincangan tersebut tidak melibatkan penyertaan ekuiti dan pakatan strategik yang akan dijalinkan itu adalah bagi membolehkan Proton lebih inventif di peringkat domestik dan antarabangsa.
"Perlu ditekankan di sini bahawa sebarang perbincangan yang melibatkan penyertaan ekuiti pihak asing pada masa depan harus tertumpu pada matlamat saling menang atau ‘
win-win situation
’ dengan mengambil kira kepentingan ekosistem automotif di Malaysia serta pengekalan jenama Proton itu sendiri,” katanya ketika menjawab soalan Mohamed Azmin Ali (PKR - Gombak) di Parlimen.
Mohamed Azmin mahu Menteri Kewangan menyatakan sama ada kerajaan berhasrat menjual ekuitinya dalam Proton dan syarikat-syarikat yang menunjukkan minat selain langkah yang diambil kerajaan untuk meningkatkan daya saing automotif negara dalam ASEAN untuk bersaing dengan Thailand.
- Bernama
