Seorang ahli ekonomi tempatan menyarankan agar kerajaan berterus-terang kepada rakyat ketika menaikkan harga bahan bakar, sama ada kerana masalah subsidi ataupun persediaan menghadapi pelaksanaan Zon Perdagangan Bebas Asean (Afta) mulai tahun depan.

Ketika menyarankan demikian, Dr Rosli Yaakop yang juga pengarah sebuah agensi pelancongan, berkata, kerajaan perlu adil dalam hal ini, dengan berterus terang kepada rakyat mengenai alasan sebenarnya harga bahan bakar itu dinaikkan.

Rakyat pula, katanya, perlu menerima hakikat bahawa pembukaan pasaran melalui Afta dan kemudian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) akan membawa kepada persaingan samarata, apabila sekatan dagangan dan subsidi terpaksa diketepikan.

"Buat masa ini, rakyat difahamkan bahawa kerajaan tidak lagi mampu menampung subsidi bahan bakar, menyebabkan kenaikan harga bahan itu tidak dapat dielakkan," kata Rosli ketika diminta mengulas mengenai ura-ura kerajaan untuk menaikkan lagi harga bahan bakar dalam masa yang terdekat ini.

Berikutan itu, katanya, harga petrol dijangka meningkat sekitar enam peratus atau lapan sen kepada RM1.40 se liter, tetapi kerajaan juga boleh menggunakan alasan yang sama untuk menurunkan sekatan cukai bagi barangan import.

Turun naik harga

"Suatu hari nanti, rakyat mungkin diberitahu bahawa harga bahan bakar akan sentiasa turun-naik kerana dasar perdagangan bebas (yang tidak membenarkan pemberian subsidi) dan bukannya sekadar tidak mampu menanggung subsidi," kata Rosli kepada malaysiakini hari ini.

Rosli percaya bahawa kekerapan kerajaan menaikkan harga bahan bakar sejak lebih setahun lalu merupakan satu persedian kepada rakyat supaya tidak terkejut dengan kenaikan seperti itu apabila Afta dilaksanakan nanti.

Bagaimanapun, katanya, persediaan ini perlulah dilakukan secara menyeluruh, dan bukan sekadar kenaikan harga bahan bakar semata-mata.

Sebagai contoh, cukai import kereta pada masa ini adalah melebihi 150 peratus, bergantung kepada saiz kenderaan.

"Oleh itu, adalah amat wajar sekiranya sekatan terhadap cukai kereta import juga diturunkan mulai dari sekarang," kata Rosli, yang juga kolumnis bagi akhbar rasmi PAS, Harakah .

Penganiyaan rakyat

Dengan pelaksanan Afta, cukai import kereta dari kalangan negara Asean dijangka tidak melebihi lima peratus dan ini dilihat sebagai menjejaskan industri kereta nasional.

Sekiranya persediaan bagi membuka pasaran di peringkat global hanya membabitkan perkara yang menguntungkan pemerintah, seperti menaikkan harga bahan bakar, dan tidak yang lain, ianya merupakan satu penganiyaan kepada rakyat.

"Kerajaan mestilah mempamerkan konsistensi dalam mempersiapkan rakyat bagi menghadapi era ekonomi terbuka ini, dan bukannya melakukannya secara terpilih," jelasnya lagi.

Sejajar dengan itu, beliau menyarankan agar kerajaan mencuba sedaya-upaya mempertahankan harga bahan bakar pada kadar sekarang, kecuali ada keperluan melakukannya di bawah Afta, bagi mengelakkan peningkatan kadar inflasi.

Katanya, kajian mendapati kenaikan harga petrol sebanyak 10 sen pada Oktober tahun lalu (dari RM1.20 sen ke RM1.30 sen seliter) telah meningkatkan Indeks Harga Pengguna sebanyak 0.8 peratus.

"Kenaikan kadar inflasi berikutan kenaikan harga minyak ini sebenarnya agak besar," jelas Rosli.

Pemberian subsidi

Minggu lalu, akhbar Business Times di Singapura melaporkan kerajaan Malaysia mungkin mengumumkan kenaikan harga petrol kepada RM1.40 seliter meningkat sebanyak lapan sen, dalam masa terdekat ini.

Sekiranya ini berlaku, ianya merupakan kenaikan kali yang keempat dalam tempoh masa kurang dari dua tahun dan kali ketiga dalam tempoh setahun.

Untuk tempoh lebih satu dekad, kerajaan menghadkan harga petrol pada harga RM1.10 seliter, sebagai langkah untuk mengekang inflasi.

Awal bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad membayangkan kerajaan akan menaikkan lagi harga bahan bakar kerana tidak mampu memberi subsidi sebanyak RM4 bilion setahun.

Bagaimanapun, pengumuman tersebut dianggap sebagai satu mimpi ngeri oleh rakyat negara ini.

Malaysia mengeluarkan kira-kira 650,000 tong minyak sehari dari pantai Terengganu dan Sarawak.