Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nazri serah notis rujuk Anwar ke JK hak Parlimen

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini menyerahkan notis kepada speaker Dewan Rakyat untuk merujuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen.

Ditemui di bangunan parlimen tengahari ini, Nazri berkata beliau telah menyerahkan notis pagi ini untuk merujuk Anwar kepada jawatankuasa tersebut.

Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh sebelum ini dipanggil untuk memberi penjelasan ke Dewan Rakyat berhubung kenyataannya di dalam dewan yang mengaitkan 1Malaysia dengan One Israel.

"Saya sudah serahkan notis tadi," katanya ketika ditemui wartawan.

Sehubungan itu, Nazri juga berkata BN akan mengemukakan usul tersebut pada 22 April, yang juga merupakan hari terakhir bagi sidang pertama, penggal ketiga bagi sesi parlimen ke-12.

Anwar berhadapan dengan tindakan dikenakan amaran ataupun penggantungan daripada menghadiri sidang dewan, bergantung kepada keputusan jawatankuasa itu.

Sehubungan itu juga, ahli parlimen Batu Tian Chua hari ini menyerahkan notis kepada speaker untuk mengemukakan usul bagi mendesak kerajaan persekutuan menamatkan perkhidmatan Apco.

"Saya mohon mencadangkan bahawa parlimen Malaysia mendesak kerajaan segerakan membatal perjanjian Apco Worldwide Sdn Bhd dan menghentikan kerjasama sama sekali kerana ia mengancam keselamatan dan mencabuli kedaulatan negara," kata Tian dalam notis tersebut.

"Penglibatan Apco secara tidak langsung dalam pentadbiran negara Malaysia ataupun penasihat kepada perdana menteri akan menggadaikan maruah kepada Zionis," tambahnya.

ADS