Malaysiakini BERITA

'Umno-Apco', Mahfuz tidak ke jawatankuasa hak

Salhan K Ahmad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) hari ini menarik balik usul untuk membawa Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) ke jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen.

NONE Ismail berbuat demikian dengan mengemukakan satu lagi usul di Dewan Rakyat hari ini bagi menarik balik usul terdahulu yang dikemukakannya semalam.

"Memandangkan Pokok Sena telah membuat penjelasan terhadap perkara yang berbangkit semalam Rabu 7 April 2010, saya ingin kemukakan usul berkenaan hak dan kebebasan bawah peraturan mesyuarat 26(1)(p) untuk majlis mengambil ketetapan membatalkan usul saya yang terdahulu yang diluluskan pada Rabu 7 April 2010," katanya.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum itu telah meminta Mahfuz mengemukakan penjelasan sama ada pengucapan "Umno-Apco" itu bertujuan menyelewengkan Dewan.

Mahfuz kemudiannya berkata beliau tidak berniat demikian, dan penjelasan itu diterima oleh Ismail.

Usul bagi menarik balik tindakan itu kemudiannya dipersetujui sebulat suara oleh ahli dewan.

'Tone down' sikit

Dalam pada itu, Pandikar Amin juga secara sinis mengambil peluang untuk mendisiplinkan ahli parlimen atas kekalutan di dalam dewan yang berlaku semalam.

parliament pandikar amin anwar ibrahim lim kit siang dap pkr pc  121108 01 "Saya ingatkan kembali saya mohon kerjasama ahli yang berhormat terutama ketua pembangkang, ketua BBC, menteri-menteri, timbalan menteri, dan semua personaliti yang agresif itu, tidak payah saya sebut nama.

"Nama ahli yang berhormat sudah tersohor serata negara ini. Tolonglah tone down sikit keagresifan itu, cari aktiviti lain. Curahkan keagresifan itu ke arah itu. Jangan dalam dewan," katanya.

Beliau sebelum itu juga berkata peristiwa semalam perlu dijadikan iktibar oleh ahli dewan dan juga oleh beliau sendiri serta timbalannya.

"Bagi yang berhormat pula, ambil iktibar daripada insiden (semalam) bahawa seringkali saya katakan apabila berhujah, mesti precise dan berdisiplin.

"Apabila berdiri untuk membangkitkan point of order , point of order itu harus difahami maksudnya, harus difahami risikonya, sama ada point of order itu boleh dibuat atau tidak.

"Bagi saya sebagai yang dipertua, untuk mengheret seorang ahli yang berhormat kepada jawatankuasa hak dan kebebasan adalah suatu yang amat besar sekali kerana itu adalah soal integriti ahli yang berhormat berkenaan.

Beliau juga menjelaskan, tindakannya merujuk ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke jawatankuasa berkenaan dibuat selepas beliau mengingatkan Anwar tentang risiko beliau membangkitkan isu 1Malaysia dan One Israel.

"Atas sebab itu beberapa hari yang lalu, apabila permatang pauh berucap membahas supplementary budget, dan membaca surat-surat yang spesifik, saya mengingatkan permatang pauh, saya katakan adakah diambil kira peraturan mesyuarat 36(12) kerana kerajaan nanti mungkin akan membidas kerana itu tanggungjawab ahli," katanya.