BERITA

Calon Hulu S'gor: Dr Halili serah pada PKR

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Apr 2010, 9:59 pagi

Bendahari PKR Cabang Hulu Selangor Dr Halili Rahmat - yang disebut-sebut berpotensi dipilih sebagai calon PKR - menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti itu untuk membuat pilihan terbaik.

"Perkara ini saya serah kepada pucuk pimpinan partilah," katanya ketika diminta mengulas desas-desus mengenai "kedudukan selesanya" bagi berdepan dengan calon BN dalam pilihan raya kecil 25 April ini.

dr halili rahmat anwar doctor 130904 pc Semalam, Malaysiakini difahamkan, daripada lima nama yang disenarai-pendek sebagai calon PKR di Hulu Selangor, Dr Halili dan penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim paling berpeluang untuk dipilih.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terkini hari ini, difahamkan kedudukan Zaid lebih selesa dan berkemungkinan besar dipilih.

Bagaimanapun, penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim masih boleh menukar keputusan tersebut pada saat-saat akhir.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Halili - yang dilihat rapat dengan keluarga Anwar sejak tercetusnya peristiwa Reformasi pada tahun 1998 - masih mahu terus berdiam diri tentang perkara tersebut.

"Kita tunggu dan lihatlah (keputusan parti). Minggu depan sahaja (ia akan diumumkan)," kata beliau yang enggan mengulas lanjut berhubung peluangnya itu.

NONE Dr Halili - yang juga seorang pakar bedah saraf - sebelum ini pernah bertanding di kerusi parlimen Hulu Selangor pada tahun 2004. Bagaimanapun beliau tewas kepada calon BN, Datuk G Palanivel ( kiri ).

Difahamkan, selain Dr Halili dan Zaid, tiga lagi nama yang disenarai-pendek bagi bertanding di kawasan tersebut.

Mereka ialah naib ketua PKR Cabang Hulu Selangor Razali Mokhtar, Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud, dan aktivis peguam N Surendran.

Di pihak BN pula, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam dilaporkan memberikan laluan kepada MIC di kawasan tersebut, walaupun tidak dipersetujui ahli akar umbi Umno di Hulu Selangor.

Bagaimanapun, nasib Palanivel - yang dikatakan calon tunggal MIC - dilihat masih juga menjadi tanda-tanya apabila Najib hanya akan mengumumkannya pada 15 April ini.

Dua lagi nama yang disebut-sebut layak dipilih sebagai calon ialah Ketua pemuda MIC bahagian, V Mugilan dan timbalan ketua bahagian, V Chandran.

Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi parlimen tersebut akan diadakan pada 17 April ini. Manakala pilihan rayanya pula ditetapkan pada 25 April.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.