BERITA

Marah JKR, penduduk bakar geran tanah

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Apr 2010, 1:56 pagi

Kecewa dengan projek pembesaran jalan yang didakwa menimbulkan banyak masalah, penduduk sebuah kampung di Port Dickson hari ini membakar geran tanah asli mereka sebagai tanda bantahan.

Dengan bantuan sebuah NGO pemantau prestasi jabatan kerajaan, mereka juga mendirikan sebuah papan tanda besar ala papan projek Jabatan Kerja Raya (JKR) bertulis "Tapak cadangan tanah perkuburan baru" dan "Homestay mencari maut".

gempak protest jkr port dickson burn Menurut timbalan pengerusi Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan (GEMPAK) Rahimuddin Md Harun, penduduk dan NGO terbabit hari ini mengambil tindakan tersebut kerana kecewa dengan pemantauan JKR terhadap projek tersebut.

Sejak dimulakan pada 2004, tambahnya, projek pembesaran jalan Pasir Panjang-Linggi itu tidak dijalankan dengan baik sehingga menyebabkan rumah-rumah di sekitarnya terdedah kepada risiko dirempuh kereta dan banjir.

Katanya, jalan yang ditambak beberapa kaki itu, dengan saliran yang tidak sempurna menyebabkan air dan selut melimpah masuk ke rumah penduduk setiap kali hujan.

Jalan baru tersebut juga tidak mempunyai penghadang bagi mengelakkan kereta yang terbabas merempuh rumah mereka, tambahnya.

Sebanyak 72 keluarga - kira-kira 300 penduduk - terlibat dalam projek pembesaran jalan sejauh kira 17 kilometer itu.

pd resident gempak torch house title protest road project 100410 Rahimuddin berkata, penduduk telah mengadukan perkara tersebut kepada pelbagai pihak, termasuk JKR, wakil rakyat, kerajaan negeri, pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

"Kalau hendak kumpul semua aduan, sudah satu rim kertas. Janganlah pandai menabur janji dalam pilihan raya kecil di Hulu Selangor sahaja, tetapi dengarlah juga rintihan penduduk di sini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini selepas bantahan tersebut.

Rahimuddin juga berkata, penduduk Pasir Panjang tidak membantah pembangunan "tetapi janganlah kerana pembangunan, keselesaan dan hak penduduk diabaikan".

Menurut Rahimuddin, projek tersebut diusahakan oleh Perbadanan Menteri Besar Negeri Sembilan, sebuah anak syarikat milik kerajaan (GLC) negeri.

Kira-kira 70 penduduk setempat hadir menyatakan bantahan itu kira-kira jam 11 pagi tadi.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.