Kontrak Apco bernilai RM77 juta setahun

       

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa kontrak yang dimeterai antara kerajaan dengan firma perunding perhubungan  Apco Worldwide bernilai hampir RM77 juta.

azlan Dalam jawapan bertulisnya kepada Tian Chua (PKR-Batu), jumlah yang didedahkan Nazri itu adalah dua kali ganda daripada yang dilaporkan sebelum ini.

Tian Chua merujuk laporan akhbar yang memetik Nazri, sebelum ini sebagai berkata jumlah yang dibayar kepada Apco berjumlah RM28 juta.

Bagaimanapun dalam jawapannya berhubung soalannya itu, Nazri berkata jumlah yang dibayar kepada Apco bernilai US$24 juta.

"Tukarkan jumlah itu dalam ringgit dan anda akan mendapat hampir RM77 juta."

NONE Tian Chua berkata jumlah itu adalah untuk bayaran selama setahun.

"Saya tidak tahu sama ada dia tersilap atau membuat perkiraan yang salah berhubung kadar tukaran asing ringgit kepada dolar. Mungkin dia berfikir bahawa ringgit Malaysia masih kukuh dan nilainya hampir sama dengan dolar,” katanya dengan nada sinis.

Tian Chua melahirkan rasa tidak percayanya bahawa jumlah wang yang sebegitu banyak dibayar kepada firma asing sedangkan syarikat tempatan juga mampu melakukan tugas yang sama.

"Adakah perkhidmatan Apco begitu istimewa yang memerlukan bayaran sebegitu tinggi? Kenapa tiada syarikat tempatan diambil. Saya pasti firma tempatan mampu melakukan kerja itu,” katanya lagi.

[Baca berita penuh]

Malaysiakini
terkini untuk anda