Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) tidak pernah menyeleweng daripada matlamat asal penubuhnya bagi membasmi kemiskinan di Selangor, kata pengerusinya Datuk Zainal Abidin Sakom.
Katanya, usaha itu dibuktikan melalui pelaksanaan program utamanya bagi membantu golongan miskin seperti pembinaan 'Desa Kasih' dan bantuan pendidikan kepada lebih 1,500 pelajar di negeri itu.
“Kita reka, buat program penempatan baru bagi membasmi kemiskinan melalu Desa Kasih. Dalam projek ini, kita bantu golongan berpendapatan rendah di pelbagai tempat.
“Kita berikan pelbagai infrastruktur yang sesuai,” katanya ketika diminta membuktikan yayasan itu tidak menyeleweng daripada matlamat asalnya bagi membasmi kemiskinan.
Katanya, program sosio-ekonomi yang melibatkan sembilan kawasan penempatan – kebanyakannya di di Hulu Selangor dan Sabak Bernam – diusahakan daripada tahun 1996 hingga 1999 dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.
Semalam, kerajaan negeri mengedarkan kertas putih mengenai YBK kepada DUN Selangor hasil laporan Jabatan Audit Selangor - sebuah agensi di bawah kerajaan persekutuan.
Membacakan laporan eksekutifnya, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim antaranya mendakwa terdapat rumah yayasan itu yang diduduki oleh pihak yang bukan daripada golongan miskin.
Menjawab dakwaan itu, Zainal Abidin sebaliknya berkata, perkara tersebut menunjukkan usaha YBK selama ini bagi membasmi kemiskinan sudah berjaya.
“Kalau pergi tengok sekarang, memanglah tidak ada yang miskin lagi, sebab kita sudah basmi kemiskinan itu,” kata bekas ADUN Batang Kali.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Zainal Abidin berkata,YBK juga telah membelanjakan jutaan ringgit bagi membantu pelajar sekolah menengah yang tidak berkemampuan di seluruh Selangor daripada tahun 1994.
Beliau yang juga ketua biro agama Umno Selangor berkata, dalam tempoh bantuan lima tahun itu, sejumlah RM20,000 dibelanjakan bagi seorang pelajar.
“Projek ini seiring dengan program Desa Kasih. Selepas kita bina penempatan mereka, kita kenalpasti pelajar sekolah yang tidak mampu.
“Kita ada 200 pelajar dalam satu-satu masa (untuk dibantu),” katanya sambil menjelaskan program berkenaan terus berjalan sehingga sekarang.
Sejak diperkenalkan, 1,509 pelajar telah dibantu, tambah Zainal.
