Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Orang Asli minta selesai masalah tanah belum warta
Diterbitkan:  Apr 19, 2010 4:10 PM
Dikemaskini: 10:51 PM

Tanah, kebajikan dan perubahan taraf hidup. Itu tiga isu utama yang dibangkitkan kebanyakan Orang Asli yang mendiami kampung-kampung tradisi di Kuala Kubu Baru, Batang Kali dan Hulu Bernam.

Misalnya, majoriti 33 keluarga Orang Asli di Kampung Serigala, Sungai Selisik, amat berharap masalah tanah yang belum diwartakan diselesaikan.

    

"Ini isu kritikal...saya sendiri ada beberapa ekar tanah kebun belum digazet," kata Tok Batin Kampung Serigala, Husin Awa ketika ditemui Bernama di kampung tradisi itu, kira-kira sejam dari Kuala Kubu Baru menggunakan jalan lama melalui Hulu Bernam.

    

Husin berkata masalah tanah itu menyebabkan masyarakat Orang Asli merasa tertekan.

    

"Kami duduk di sini lama masa darurat lagi. Ini tanah Orang Asli, kami pribumi," kata Tok Batin itu ketika menunggu kunjungan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal yang melakukan tinjauan sempena majlis ramah mesra bersama masyarakat kampung itu hari ini.

Zamri Tahar, 31, ketua kumpulan anak-anak muda Orang Asli yang mempersembahkan tarian "sewang" suku Temuan menyambut kehadiran Shafie hari ini. turut mengakui bahawa masalah tanah tidak diwartakan perlu diselesaikan bagi mengelakkan isu penduduk menoreh getah tanpa mengira siapa pemiliknya.

hulu selangor by-election nomination 170410 orang asli supporters 02 Araiti Ramli, 24, pula mengakui ekoran masalah tanah itu, suaminya Erwan Husin masih menoreh pokok getah milik orang lain untuk mencari rezeki.

    

"Tak tahu pokok getah siapa, toreh je sebab nak bagi makan pada keluarga," kata ibu muda yang memakai baju kurung hijau sambil mengendong anak ketiganya berusia kurang setahun.

Selain masalah tanah, Ariati berkata beliau menghadapi masalah bekalan air di rumah PPRT (projek perumahan rakyat termiskin) yang didudukinya sejak 2007 walaupun bekalan elektrik diperolehi sejak 2008.

    

"Kalau boleh minta pihak berwajib tolong saya tentang masalah air ini," katanya.

    

hulu selangor by-election nomination 170410 orang asli supporters Rakan Ariati, Rohani Harun, 27, berkata penduduk kampung itu terpaksa bergantung kepada air gunung yang kadang-kadang menghadapi masalah ketika musim hujan.

"Kalau hujan tak boleh ambil air sebab kotor" kata Rohani yang mendakwa pagar rumah PPRT yang didiaminya sejak 2007 sudah rosak.

    

Kampung Serigala yang berkeluasan 52.63 hektar mempunyai 146 penduduk dengan rata-rata daripada mereka berkerja di kebun getah, selain kerja kampung sebagai sumber pendapatan.

    

NONE Mengenai masalah tanah itu, Shafie berkata kerajaan akan meminda Akta Orang Asli 1954 pada tahun ini bagi mewartakan tanah Orang Asli selain meneruskan usaha pembangunan di penempatan Orang Asli di seluruh negara.

Sebanyak RM300 juta diperuntukkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) luar bandar bagi membantu Orang Asli daripada segi penyediaan kemudahan asas seperti jalan berturap, rumah, bekalan air dan elektrik mengikut keutamaan penduduk.

    

"Kerajaan akan terus bela masyarakat Orang Asli, ini tanggungjawab," kata menteri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS