Pak Lah: Washington janji percepat pemberian visa kepada pelajar Malaysia

comments     Published     Updated

Kerajaan Amerika memberi jaminan untuk berusaha mempercepatkan proses pemberian visa kepada pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran mereka ke Amerika Syarikat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut Bernama , Abdullah yang mengadakan pertemuan dengan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri Gabenor Tom Ridge di Washington, berkata kira-kira 200 pelajar yang dibiayai kerajaan Malaysia masih belum mendapat visa akibat kawalan ketat untuk masuk ke Amerika berikutan peristiwa 11 Sept.

"Hampir kesemua pelajar yang belum mendapat visa itu terdiri daripada pelajar lelaki dari pelbagai bangsa manakala jumlah pelajar persendirian yang belum mendapat visa belum diketahui," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Menurut Kedutaan Malaysia di Amerika, kini terdapat kira-kira 8,000 pelajar Malaysia sedang menuntut di negara tersebut.

Perkara berhubung proses pemberian visa juga turut ditimbulkan semasa lawatan Setiausaha Negara Colin Powell ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pertemuan Abdullah dengan Ridge itu turut membincangkan mengenai rancangan Malaysia untuk menubuhkan pasukan kawalan pantai seperti di Amerika.

"Saya cadangkan kerjasama dari segi latihan," katanya sambil menjelaskan bahawa Malaysia boleh belajar dari Amerika mengenai struktur dan operasi pasukan itu.

Negara berisiko tinggi

Terdahulu itu Abdullah menemui Penasihat Keselamatan Amerika, Dr Condoleeza Rice dan perbincangan antara kedua mereka berkisar tentang isu keganasan serta isu Palestin dan Iraq.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan kepada Rice bahawa tindakan ketenteraan terhadap Iraq akan menimbulkan banyak masalah, sementara isu Palestin akan diketepikan, walhal isu Palestin merupakan prioriti tinggi, sama seperti isu Iraq.

Buat masa ini, kerajaan Bush menyerahkan isu Iraq kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum mengambil tindakan selanjutnya dan PBB mahu Iraq menerima kembali pasukan pemeriksa senjata untuk mencari bahan-bahan senjata yang mengakibatkan kemusnahan teruk.

Mengenai hubungan Amerika dengan negara-negara Islam pula, Rice berkata bahawa Amerika tidak anti-Islam atau anti-umat Islam. Abdullah berkata senarai itu menunjukkan Amerika memandang serong terhadap negara-negara Islam.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In