Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ezam cabar Anwar, Azizah dedah kandungan 6 kotak
Diterbitkan:  Apr 22, 2010 7:25 PM
Dikemaskini: 11:32 AM

Bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor, hari ini mencabar ketua umum PKR dan presiden parti itu, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, supaya menjelaskan kedudukan enam kotak yang dikatakan mengandungi dokumen mengenai salah laku pemimpin kerajaan.

NONE Berita Harian Online memetik Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, mereka berdua sepatutnya mendedahkan kandungan kotak berkenaan yang dijaja sebagai modal politik sejak 1999 selepas Anwar dipecat daripada Umno dan kerajaan.

Sambil menegaskan beliau tidak pernah menyimpan kotak berkenaan atau membaca kandungan dokumen di dalamnya, Ezam berkata beliau hanya ditunjukkan kotak berkenaan ketika disimpan di kediaman Anwar selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipecat.

"Selepas dipenjara, Anwar memesan melalui Wan Azizah supaya saya sentiasa membangkitkan soal kandungan kotak berkenaan pada ceramah dan saya hanya menurut perintah....Saya difahamkan kotak berkenaan kemudian diberi kepada beberapa saudara dan rakan untuk disimpan di dalam dan luar negara.

"Sebaliknya, apabila saya keluar daripada PKR, mereka menyatakan saya yang menyimpan kotak berkenaan untuk menjejaskan kredibiliti saya....Justeru, saya mencabar Anwar dan Wan Azizah mendedahkan kandungan kotak berkenaan," kata Ezam di Rumah Kelantan di Bukit Beruntung, tengah hari tadi.

Ezam diminta mengulas isu kotak berkenaan yang sebelum ini menjadi modal ceramah beliau serta pemimpin PKR untuk memburuk-burukkan pemimpin kerajaan kepada rakyat.

Selepas meninggalkan PKR dan menyertai Umno, beliau bukan saja dikutuk kerana meninggalkan perjuangan mereka tetapi juga digelar ahli parti itu sebagai "Ezam Kotak".

Semalam, Ezam mendakwa mempunyai dokumen lengkap yang dapat membuktikan Anwar mempunyai hubungan dengan pemimpin Yahudi.

Malah, katanya, beliau bercadang menyerahkan dokumen berkenaan kepada Parlimen sebagai bukti yang Anwar memang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Yahudi.

ADS