mk-logo
Berita
'Ugutan melalui emel', pakar British buat aduan polis
Diterbitkan:  Apr 27, 2010 2:30 AM
Dikemaskini: Apr 28, 2010 1:59 AM

Pakar patologi British, Peter Veneziz mendakwa telah menerima ugutan melalui emel terrhadap dirinya dan keluarganya.

teoh 2nd autopsy 221109 peter vanezis Vanezis mula memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh Beng Hock, semalam.

Berikutan itu, beliau telah membuat satu laporan polis malam tadi di balai polis Shah Alam pada jam 11 malam tadi.

Ketua pendakwaraya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa, memberitahu mahkamah demikian apabila inkues tersebut disambung pagi ini.

Abdul Razak berkata e-mel itu "menakutkan dan mengancam keselamatan" pakar British itu yang memberi keterangan untuk kali pertama semalam, lapor Bernama.

Dr Vanezis tidak senang dengan e-mel ancaman terhadap beliau dan keluarganya itu, kata Abdul Razak.    

Ahli patologi British itu, yang dilantik SPRM dan pakar patalogi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor, telah menjalankan bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh yang digali semula dari kubur pada November tahun lepas.

   

Semalam, beliau memberitahu inkues bahawa Teoh berada dalam keadaan sedar semasa jatuh dan beliau tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan Teoh telah dicekik sebelum kematiannya.

Dr Vanezis, hari ini dijadual disoalbalas oleh peguambela Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh.

   

Pada 17 Julai tahun lepas, Teoh ditemui mati di koridor di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat oleh SPRM Selangor di pejabat suruhanjaya itu yang terletak di bangunan yang sama, berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan negeri.

Ditemui Bernama selepas selesai memberi keterangannya, Dr Vanezis berkata sebelum kes ini, beliau hanya menerima satu panggilan telefon berupa ugutan sejak 35 tahun lepas dan ia mempunyai kaitan dengan satu kes di United Kingdom.

"E-mel itu bertujuan menakut-nakutkan saya sehingga ia boleh menjejaskan keterangan saya hari ini. Tetapi sebagai seorang yang profesional, saya tidak boleh ditakutkan oleh e-mel seumpama itu.

"Saya harap pihak polis akan menjalankan siasatan," kata professor British itu yang tidak asing di negara ini.

   

Dr Vanezis berkata beliau telah beberapa kali ke negara ini untuk mengendalikan pemeriksaan luar bagi sains forensik di Universiti Sains Malaysia dan dua lagi fakulti perubatan.

Dr Vanezis berkata ancaman melalui e-mel itu tidak akan melemahkan semangatnya dan bersedia untuk datang ke negara ini sekiranya kepakaran beliau diperlukan.

 

 

 

 
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini