Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Penamaan calon pilihanraya kecil Parlimen Gaya 3 Oktober, pengundian 12 Oktober
Published:  Sep 20, 2002 8:28 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hari ini mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihanraya kecil kawasan Parlimen Gaya di Sabah pada 3 Oktober ini dan pengundian pada 12 Oktober.

Menurut Pengerusi SPR, Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman, SPR akan menggunakan daftar pemilih bahagian pilihanraya P.150 Gaya yang diwartakan pada 27 Disember, 2001 dan dikemaskini sehingga 17 September ini.

Agensi berita nasional Bernama melaporkan bahawa mengikut daftar pemilih yang dikemaskini itu, kawasan Parlimen Gaya mengandungi 49,426 pemilih berdaftar termasuk 73 pengundi pos.

Daftar pemilih yang dikemaskini itu boleh diperolehi daripada Pejabat Pilihanraya Negeri Sabah mulai 23 September ini, kata Abdul Rashid dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pilihanraya kecil kawasan Parlimen Gaya di Putrajaya.

Beliau menasihati semua pihak supaya menggunakan daftar pemilih yang telah dikemaskini.

"Kalau ada pihak yang menggunakan senarai lama dan mendapati ia berbeza, janganlah salahkan SPR. Saya beri amaran awal-awal lagi," katanya.

Abdul Rashid berkata penamaan calon bagi pilihanraya kecil itu akan diadakan di Dewan MAKSAK, Likas dari jam 9 pagi hingga 11 pagi manakala waktu bantahan adalah dari jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Hilang kelayakan

Katanya, Pengarah Jabatan Perancang Bandaraya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Ali Jus Sipil dipilih sebagai Pegawai Pengurus bagi pilihanraya kecil itu.

Beliau berkata, writ pilihanraya akan dikeluarkan kepada Pegawai Pengurus pada 25 September ini manakala notis mengenai pilihanraya kecil ini akan dikeluarkan dan diwartakan pada 26 September.

Pengumuman pilihanraya kecil itu dibuat dua hari selepas SPR mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee telah hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen Gaya dan kerusinya diisytiharkan kosong.

Dalam mengisytiharkan kekosongan kerusi itu, SPR telah mengambilkira undang-undang pilihanraya yang sedia ada serta keputusan Mahkamah Persekutuan pada 3 September lalu, yang menolak rayuan Yong, selain keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Jun lalu.

Pada 3 September, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Yong untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan keputusan Mahkamah Pilihanraya bahawa beliau telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Piliharaya 1954 dengan mengamalkan rasuah ketikapilihanraya Dewan Undangan Negeri Likas.

Dalam pilihanraya umum 1999, Yong memperolehi 15,315 undi untuk mengalahkan calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Johnny Goh Chin Lok dengan majoriti 4,117 undi. Calon PAS, Hamzah Haji Abdullah hanya mendapat 729 undi dalam pertandingan tiga penjuru untuk kerusi Parlimen itu.

Abdul Rashid menasihati semua pihak termasuk parti-parti politik, calon dan petugas parti supaya mematuhi peraturan-peraturan pilihanraya dan tatasusila berkempen yang ditetapkan.

Proses pengampunan

"Kepada media, SPR meminta memberikan liputan yang adil dan saksama kepada semua pihak yang bertanding," tambahnya.

Ketika diminta mengulas dakwaan Yong kononnya SPR bertindak mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen walaupun proses pengampunan belum selesai, Abdul Rashid berkata SPR mengambil keputusan itu berdasarkan nasihat pakar undang-undang.

Beliau menjelaskan: "SPR tidak memberi pendapat peribadi, ini adalah pandangan undang-undang. Mahkamah memutuskan ia tolak rayuan Yong, jadi kita kena buat pengisytiharaan.

"Mahkamah memberitahu SPR bahawa terdapat kesalahan yang menyebabkan pilihanraya lepas itu batal. Jadi bila batal, maka kosonglah kerusi itu. Adalah menjadi tanggungjawab SPR untuk mengisytiharkan kekosongan itu."

Abdul Rashid juga ditanya pemberita mengenai dakwaan Yong kononnya kesalahan itu boleh diampunkan, Beliau berkata: "Itu penjelasan dia. Dia (Yong) boleh tulis secara rasmi. Ini hal undang-undang."

Pada 17 September lalu, Yong yang juga presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata beliau telah memohon pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri Sabah untuk mengekalkan kedudukannya sebagai anggota Parlimen Gaya dan anggota Dewan Undangan Negeri Likas.

Ketika mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen Gaya pada 18 Sept, Abdul Rashid telah berkata SPR dan Jabatan Peguam Negara berpendapat urusan pengampunan Yong daripada Yang di-Pertuan Agong sebenarnya tidak terpakai dalam kes-kes yang melibatkan undang-undang pilihanraya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS