Jawatankuasa pengurusan Persatuan Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sabah hari ini menafikan dakwaan kononnya ia enggan menerima guru-guru dari kalangan bumiputera yang boleh bertutur dalam bahasa Cina untuk mengajar di sekolah-sekolah Cina di Sabah.
Pengerusinya Datuk Wong Yit Ming berkata sebaliknya semua 83 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Sabah mengambil dasar terbuka dengan menyambut baik kehadiran guru-guru tanpa mengira kaum dan bangsa, bagi mengatasi masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah rendah.
"Kami tidak pernah menolak mereka, itu tidak benar, apa yang kami mahu adalah guru-guru yang sekurang-kurangnya boleh bertutur dalam bahasa Mandarin atau Cina.
"Kami percaya proses pembelajaran lebih mudah sekiranya guru-guru bumiputera ini boleh berbahasa Cina, terutama di sekolah-sekolah rendah," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Pelajaran Sabah Muhiddin Yusin semalam bahawa sekolah-sekolah Cina ini enggan menerima guru-guru dari kalangan bumiputera, walaupun mereka boleh bertutur dalam bahasa Cina.
Muhiddin dipetik oleh akhbar tempatan sebagai berkata walaupun jumlahnya tidak ramai, mereka masih tidak diterima kerana sekolah-sekolah Cina ini hanya mahukan guru-guru dari kalangan kaum Cina.
Wong berkata sekolah-sekolah Cina di Sabah sehingga kini mengamalkan konsep 1Malaysia yang sebenar dengan menerima kaum bukan Cina untuk mengajar di sekolah-sekolah Cina.
Beliau memberi contoh SJK (C) Cheng Ming, Papar, dekat Kota Kinabalu di mana jawatan guru besar dipegang oleh seorang bumiputera dan persatuan itu tidak pernah mengungkitnya.
"Dia menduduki jawatan itu sejak 10 tahun lepas dan dia berkomunikasi dengan para pelajarnya menggunakan bahasa Mandarin. Itu yang kami mahu," katanya.
Wong berkata beliau berharap lebih ramai pemohon dari kalangan kaum Cina ditimbangkan bagi menjalani latihan untuk dihantar ke sekolah-sekolah Cina di Sabah.
Beliau berkata sekolah-sekolah Cina di seluruh negeri Sabah ketika ini mengalami masalah kekurangan guru, menjangkau sehingga 100 orang.
- Bernama
