BERITA

Judi: Demo dari kg Awang Adek sampai istana negara

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Mei 2010, 8:52 pagi

Selepas berdemonstrasi di lima negeri semalam, Pemuda PAS mahu menggiatkan lagi bantahan terhadap lesen judi bola sepak, termasuk berhimpun di kampung halaman Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein.

nasrudin hassan Ketua pemudanya Nasrudin Hassan berkata, pihaknya akan menggerakan kira-kira 5,000 orang bagi membanjiri Masjid Kampung Repek di Bachok, Kelantan pada 28 Mei, selepas solat Jumaat.

"Kita jangkakan 5,000 akan hadir. Oleh kerana ini bantahan daripada (rakyat) Pantai Timur, kita akan bawa bersama (peserta) daripada Terengganu dan Pahang," katanya.

PAS semalam mengadakan perhimpunan 'pemanas badan' di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan.

NONE Perhimpunan terbesar dipercayai di Perak dengan penglibatan kira-kira 300 orang, termasuk masyarakat bukan Islam.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat dewan itu Kuala Lumpur hari ini, Nasrudin berkata perhimpunan di kampung Awang Adek itu hanyalah sebahagian daripada bantahan awal mereka.

Pemuda PAS dengan kerjasama rakan Pakatan Rakyat akan turut mengadakan empat lagi demonstrasi di seluruh negara pada masa yang sama, tambahnya.

Menurut Nasrudin, ia akan turut diadakan Melaka, Pahang, Perlis dan sekali lagi di Selangor pada tarikh dan masa yang sama.

Sementara itu, pemimpin Pemuda yang turut menggemari permainan bola sepak itu juga memberitahu fasa kedua kempen bantahan mereka akan dimulakan Selasa depan melalui pertemuan dengan mufti dan menteri besar di seluruh negara.

NONE Kita akan suarakan perkara ini kepada pihak mufti dan diharapkan mereka dapat membawanya ke persidangan mufti kebangsaan," katanya sambil mengkritik sikap 'diam' golongan agama terhadap tindakan terbaru kerajaan itu.

"Kemuncaknya pada 3 Julai ini. Kita akan mengadakan perhimpunan 100,000 rakyat bagi menyerahkan memorandum (bantahan) Yang di-Pertuan Agong.

"Walaupun piala dunia akan tamat pada 11 Julai, tetapi sasaran kita, kita tidak mahu pemberian lesen judi ini juga melibatkan Liga Inggeris, La Liga (Sepanyol), Sirie A (Itali) dan Bundes Liga (Jerman)."

Ditanya sama ada pihaknya akan memohon permit berhimpun bagi tujuan itu, Nasrudin menjawab pihaknya hanya akan menghantar surat makluman kepada pihak polis.

"Terpulanglan pada mereka. Tetapi kami akan tetap berhimpun sebab perkara ini (perjudian)sesuatu yang mungkar," jelas Nasrudin.

Sementara itu, Nasrudin hari ini membuat desakan 'drastik' terhadap kerajaan supaya membatalkan terus undi pos dalam di pelbagai peringkat kerana mendakwa ia "terdedah kepada manipulasi dan penyelewengan".

"Walaupun kita menang di Sibu baru-baru ini, tetapi kita tidak hipokrit. Kita tetap dengan pendirian kita bahawa undi pos tidak lagi relevan di zaman ini," katanya.

Dalam pilihan raya kecil Sibu pada 16 Mei lalu, walaupun undi popular untuk rakan PAS dalam Pakatan - DAP - mencapai 50 peratus, tetapi mereka ketinggalan teruk dalam undi pos apabila hanya meraih 70 undi berbanding BN sebanyak 2,323 undi.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.