Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah batal keputusan majlis mesyuarat S'gor
Diterbitkan:  May 24, 2010 5:52 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor yang menarik balik kelulusan pemberimilikan tanah kerajaan seluas kira-kira 16 hektar di Bagan Lalang, Sepang, kepada sebuah syarikat pelaburan, lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu di dalam kamarnya selepas menerima permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Azam Cemerlang Sdn Bhd  pada 2004.

Syarikat itu yang menamakan Pentadbir Tanah Sepang dan Kerajaan Selangor sebagai responden-responden mengemukakan permohonan itu dengan alasan kedua-dua responden enggan memberitahu sebab-sebab penarikbalikan pemberimilikan tanah terbabit.

Peguam Rejinder Singh yang mewakili Azam Cemerlang ketika ditemui pemberita di luar mahkamah  berkata, mahkamah memutuskan demikian selepas mengambil kira cara pihak responden membuat keputusan berhubung penarikan balik kelulusan pemberimilikan tanah itu.

Dalam afidavitnya, Azam Cemerlang berkata pada 17 Jun 1999, satu surat kelulusan telah dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah Sepang yang memberitahu pihaknya bahawa kerajaan negeri telah meluluskan permohonannya untuk pemberimilikan tanah seluas 16.9 hektar di Bagan Lalang untuk tujuan projek pelancongan dan perniagaan.

    

Syarikat itu berkata kerajaan negeri juga mensyaratkan bahawa bayaran premium dan bayaran-bayaran berkaitan akan dikenakan setelah mendapat nilaian daripada Jabatan Penilaian  Daerah.

Azam Cemerlang berkata Jabatan Tanah/Daerah Sepang pada 27 Jun 2002 telah mengeluarkan satu notis kepadanya untuk membayar RM3.07 juta sebagai premium di

atas tanah itu dan menetapkan 27 Sept 2002 sebagai tarikh akhir untuk Azam Cemerlang menjelaskan premium tersebut.

Syarikat itu berkata pada 8 Ogos 2002 pihaknya telah merayu kepada Menteri Besar selaku ketua kerajaan negeri Selangor untuk mengurangkan premium tanah sebanyak 50 peratus dan rayuan itu telah disokong oleh Menteri Besar pada 26 Ogos 2002.

Bagaimanapun, Azam Cemerlang berkata pada 2 Sept 2002, pihaknya telah menerima satu surat bertarikh 22 Ogos 2002 dari Pentadbir Tanah Sepang yang antara lain memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor pada 26 Jun 2002 telah menarik balik kelulusan pemberimilikan tanah kepadanya dan menarik balik serta membatalkan notis pembayaran premium.

Syarikat itu berkata keputusan itu telah mengecewakan pihaknya dan pada 2 Sept 2002 Azam Cemerlang telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Besar memohon agar pemberimilikan tanah itu dikekalkan kerana syarikat itu sedang berusaha untuk membayar premium tanah sebelum tamat tempoh pembayaran.

    

Azam Cemerlang berkata tiada sebarang jawapan diterima berhubung rayuan itu dan pada 29 Okt 2003, pihaknya terpaksa menghantar satu surat kepada Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri yang kemudiannya memberi jawapan bahawa Pentadbir Tanah Sepang tidak perlu memberi sebarang alasan berhubung dengan penarikbalikan pemberimilikan tanah itu.

Syarikat pelaburan itu berkata tindakan Pentadbir Tanah Sepang dalam mengeluarkan surat pembatalan kelulusan pemberimilikan tanah mengandungi unsur-unsur 'mala fide' (berniat jahat)  memandangkan surat itu dikeluarkan sebelum tamat tempoh pihaknya membayar premium dan dikeluarkan sehari selepas mesyuarat Majlis Kerajaan Selangor membatalkan pemberimilikan tanah tersebut kepada pihaknya.

Azam Cemerlang berkata tindakan kedua-dua responden patut diketepikan kerana pihaknya langsung tidak diberi peluang untuk didengar atau membuat sebarang representasi sebelum keputusan diambil untuk membatalkan pemberimilikan tanah tersebut kepada pihaknya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS