BERITA

Ahmadiah diarah robohkan bangunan

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Jun 2010, 9:14 pagi

Nasib yang menimpa 'kumpulan ajaran sesat' Ahmadiah kini boleh disifatkan sebagai 'sudah jatuh ditimpa tangga' apabila diarahkan merobohkan bangunan sendiri dalam masa 30 hari.

Kumpulan itu mendapat notis daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) supaya merobohkan bangunan pusat pengajian mereka di Gombak pada Khamis lalu.

Dalam surat daripada Jabatan Bangunan majlis perbandaran itu, Ahmadiah diberikan notis perintah itu kerana "tidak mematuhi Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS 1984)".

Jemaat Ahmadiyah mosque selayang Butiran lanjut kesalahan itu tidak dinyatakan dalam surat yang ditandatangai oleh seorang jurutera bangunan daripada bahagian penguatkuasaan dan pemantaun MPS itu.

"Kegagalan tuan mematuhi arahan ini setelah tempoh yang diberikan tamat, Majlis Perbandaran Selayang melalui penjawat-penjawatnya akan mengambil tindakan yang sewajarnya tanpa sebarang notis lagi," surat satu halaman itu dipetik.

Menurutnya lagi, kegagalam mematuhi notis itu, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM250 bagi tiap-tiap hari kesalahan.

Jurucakap Ahmadiah Ainul Yakin Mohd Zain bagaimanapun ketika dihubungi Malaysiakini hari ini enggan mengulas berhubung arahan terbaru MPS itu.

Sejak Mei tahun lalu, Ahmadiah - dikenali juga sebagai Qadiani - yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad di India, bergelut dengan pelbagai kontroversi, antaranya apabila dipantau ketat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sejak 24 April tahun lalu, jabatan itu melarang pengikut Ahmadiah mengadakan solat Jumaat di premis berkenaan.

Pusat pengajian yang diasaskan sejak 1950-an lagi itu juga dilaporkan pernah ditampal dengan surat larangan daripada badan agama negeri dan papan tanda bertulis "Qadiani bukan agama Islam"

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.