Filipina patut minta maaf, kata Syed Hamid
Kerajaan Filipina sepatutnya memohon maaf kepada Malaysia kerana bertindak secara melulu berhubung kes seorang gadis yang mendakwa dirogol semasa berada dalam tahanan di Pusat Tahanan Sementara di Saba, kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini.
Polis mengesahkan bahawa gadis yang berusia 13 tahun itu adalah rakyat Malaysia, dan bukan warga Filipina seperti yang didakwa sebelum ini.
Akhbar New Straits Times , dalam laporannya hari ini, memetik Ketua Polis Sabah Datuk Ramli Yusuf sebagai berkata, ujian DNA ke atas gadis tersebut menunjukkan bahawa dia adalah rakyat Malaysia.
Katanya, ujian DNA darah gadis itu dengan contoh darah keluarganya menunjukkan ianya 99 peratus positif. Hasil ujian itu telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa Filipina yang bersetuju untuk menghantar gadis itu pulang ke Malaysia secepat mungkin.
Menurut Bernama , Syed Hamid juga berkata, peristiwa itu harus menjadi pengajaran kepada Filipina agar tidak terlalu mendengar tuduhan liar oleh pihak-pihak tertentu menerusi media.
"Kalau kerajaan Filipina mengatakan rakyat itu rakyat dia, dia dah salah, perkara mudah tanpa kita menyuruhnya, ialah berkata kami meminta maaf, kami telah membuat kesilapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan kedua Konsul Besar/Konsul Kehormat di Putrajaya hari ini.
Tuduhan liar
Ditanya sama ada Filipina telah memberi respon menyatakan kekesalan negara berkenaan berhubung kes terbabit, Syed Hamid berkata Filipina mendakwa perkara itu digembar-gemburkan oleh media negara itu, bukan oleh pihak berkuasa.
Syed Hamid menegaskan bahawa inilah kesannya jika mendengar tuduhan orang tanpa menyelidik.
"Saya berharap kerajaan Filipina berhati-hati sebelum dia mendengar tuduhan-tuduhan liar ini," tegasnya lagi.
Beliau berkata kes itu juga merupakan bukti terdapat pihak-pihak tertentu yang sengaja ingin membangkitkan kemarahan terhadap Malaysia.
"Pada saya adalah mustahak untuk kita membanteras tindakan-tindakan yang semacam ini," katanya.
Kes berkenaan mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad apabila Presiden Filipina Gloria Macapagal menulis surat kepada Dr Mahathir meminta kerajaan Malaysia menyiasat perkara tersebut kerana gadis berkenaan dikatakan rakyat Filipina.
Sehubungan itu, ibu pejabat Polis Bukit Aman telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci dakwaan tersebut. Malah, Kerajaan Filipina juga telah melantik seorang peguam dari Sabah untuk mewakili mangsa terbabit.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now