Sistem mahkamah 24 jam akan dilaksanakan awal tahun depan untuk membolehkan perintah reman diperolehi bagi menahan mereka yang ditahan pada hujung minggu atau cuti umum.
Sistem itu akan dilaksanakan di Semenanjung sebelum diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, kata Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah.
Agensi berita nasional
Bernama
melaporkan Dzaidin (
kiri
) berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar pendekatan praktikal terhadap prosedur jenayah di Kuala Lumpur hari ini.
Minggu lalu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah mencadangkan pelaksanaan sistem mahkamah 24 jam untuk hujung minggu dan cuti umum bagi mengelak penyalahgunaan proses reman dan kuasa polis.
Pengerusi Suhakam Tan Sri Abu Talib Othman berkata sistem itu bagi memudahkan perintah reman diperolehi semasa cuti umum dan hujung minggu kerana buat masa ini mereka yang ditahan pada hari-hari berkenaan sering dimasukkan ke lokap lebih daripada 24 jam.
Mengikut seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, seseorang yang disyaki, perlu dibawa ke hadapan majistret dalam tempoh 24 jam untuk mendapatkan perintah reman yang boleh diperolehi sehingga 14 hari.
Akta Hasutan
Mahkamah Majistret Petaling Jaya adalah antara mahkamah yang sudahpun mengeluarkan perintah reman semasa hujung minggu dan cuti umum.
Pada 6 Okt lalu, ahli majlis tertinggi Keadilan, N Gobalakrishnan telah ditahan di Pulau Pinang, mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, sewaktu dalam perjalanan untuk menghadiri ceramah awam.
Beliau kemudiannya dibawa menemui seorang majistret di Kuala Lumpur pada hari berikutnya (Ahad) bagi mendapatkan perintah reman terhadapnya.
Bagaimanapun, pada hari berikutnya, isteri beliau, R Vasanthi telah mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi berhubung perintah reman itu dan mahkamah memerintahkan supaya Gobalakrishnan dibebaskan.
