Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelancaran sesebuah program yang besar biasanya dilangsungkan penuh meriah, tetapi lain pula dengan gabungan pembangkang dan NGO yang memilih melancarkan kempen anti-lesen judi mereka secara sederhana hari ini.

NONE Tanpa persembahan hiburan atau acara potong riben, Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) hari ini dilancarkan di kompleks membeli belah Sogo di ibu negara selama 30 minit

Hanya dikawal 10 anggita polis, perhimpunan ringkas 60 orang itu berakhir tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Selain kehadiran pemimpin pembangkang seperti ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Timbalan Ketua Pemuda PKR Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, wakil NGO seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Jemaah Islam Malaysia (JIM) turut mengambil bahagian.

Ketika merasmikan kempen itu pengerusi GMJ Azmi Abdul Hamid berkata mesej penentangan mereka akan dihantar kepada seluruh ahli parlimen melalui satu sesi penyerahan memorandum di Parlimen pada 15 Jun ini.

"Kami akan memberi memorandum kepada semua ahli parlimen tidak kira BN atau Pakatan Rakyat dan juga kepada Tuan Speaker.

"Tujuan khusus kita serahkan memorandum itu untuk meminta semua ahli parlimen menyokong bantahan terhadap judi sukan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran itu petang tadi.

NONE Sementara itu Khalid ( kiri ) pula berkata, pemberian lesen judi sukan tersebut tidak langsung pernah dibahas di Parlimen.

"Yang akan dapat keuntungan daripada pemberian lesen judi ini ialah pengusaha judi dan juga along, seterusnya pihak kerajaan sendiri," ujarnya yang juga ahli jawatansa pusat PAS.

Katanya, tindakan membantah lesen judi sukan bukan bermakna judi yang sedia ada tidak ditentang sebalinya hanya :permulaan mendidik rakyat".

Sementara itu, Setiausaha Agong JIM Nahar Mohd Nor berkata, tindakan memberikan lesen judi sukan bukanlah satu penyelesaiaan bagi mengawal aktiviti perjudian yang sememangnya haram di sisi agama Islam.

"Kalau macam itu, bagilah lesen kepada pengedar dadah, pelacur. Hanya orang yang pendek akal sahaja yang akan melakukan perkara sedemikian," tegasnya.

NONE Selepas sesi pelancaran itu, semua pemimpin pembangkang dan NGO mengedarkan risalah kepada orang ramai.

Orang ramai yang membeli-belah di situ bagaimanapun kelihatan acuh tak acuh terhadap acara tersebut.

Mereka sebaliknya hanya menerima dan membelek risalah yang diedarkan sebelum berlalu pergi.

Di akhir program, 'kemesraan' kira-kira sepuluh anggota polis yang hadir dibalas oleh Azmi dengan masing-masing sekeping risalah bertulis " judi meruntuhkan masyarakat dan negara."

Ditubuhkan selepas kerajaan meluluskan pemberian lesen judi sukan baru-baru ini, GMJ ditubuhkan khas bagi menganjurkan kempen besar-besar menentang tindakan itu.

kemuncak pada bantahan mereka adalah demonstrasi besar di ibu negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS