BERITA

Keraguan terus selubungi agenda reformasi Najib

Cheah Royce dan Ahmad Razak

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Jun 2010, 4:12 pagi

Perdana Menteri Najib Razak hari ini mengumumkan rancangan lima tahun untuk memotong subsidi dan mempercepat pelaburan tetapi menggariskan tidak banyak langkah untuk meningkatkan daya saing, dan ini memperkuatkan lagi keraguan tentang agenda reformasinya.

Dalam rancangannya itu, Najib berkata kerajaan akan mengurangkan defisit fiskal dan mengurangkan subsidi secara berperingkat-peringkat, sementara mensasarkan purata 6 peratus pertumbuhan ekonomi tahunan.

NONE Ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-10 di Dewan Rakyat hari ini, perdana menteri berkata, rancangan tersebut sangat penting untuk menjayakan cita-cita  menjadikan Malaysia sebuah negara membangun sepenuhnya pada 2020.

Menurutnya, sasaran untuk mencapai 6 peratus pertumbuhan, memerlukan satu lompatan besar dalam pelaburan, terutama pelaburan yang lebih pesat di sektor swasta.

Najib memberi beberapa petunjuk tentang bagaimana kerajaan akan menarik lebih banyak pelaburan di samping rancangan untuknya menjadi rakan kongsi syarikat swasta dalam projek berimpak tinggi bernilai RM63 bilion, yang termasuk pembinaan lebuh raya, sebuah wilayah kewangan baru di ibunegara serta loji penjanaan elektrik dari arang batu.

Malaysia memerlukan purata RM115 bilion pelaburan swasta setiap tahun untuk mencapai sasaran pertumbuhan pelaburan  sebanyak 12.8 peratus setahun, demikian menurut RMK10.  Pelaburan hanya tumbuh purata 2 peratus antara 2006-2010.

Kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan pemberian subsidi kepada RM15.7 bilion pada 2015 daripada RM18.3 bilion tahun ini, menurut RMK10.

Tetapi RMK10 mengelakkan isu-isu berduri seperti membubarkan dasar berasaskan kaum yang memberi keistimewaan kepada orang Melayu sejak empat dekad lalu - suatu perubahan, yang mengikut para penganalisis, sangat penting untuk Malaysia bersaing dengan ekonomi lain.

[Baca berita penuh]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.