MCA, parti Cina terbesar dalam Barisan Nasional (BN) hari ini menjadi sasaran dua akhbar milik Umno Berita Harian dan Utusan Malaysia kerana menolak pelaksanaan pengajaran bahasa Inggeris untuk matapelajaran matematik dan sains di sekolah rendah, mulai tahun depan.

Menyifatkan keputusan MCA itu 'sebagai sudah diduga sejak awal lagi", Berita Harian dalam lidah pengarangnya hari ini, berkata ianya sesuatu yang dikesali ketika negara mengorak langkah mengharungi perkembangan pesat dunia pendidikan dan cabaran masa depan.

Menurut akhbar itu, keputusan MCA itu meletakkannya sejajar dengan pendirian pergerakan pendidikan Cina seperti Dong Jiao Zhong yang menentangkan kerajaan cadangan kerajaan itu.

Sebelum ini, parti Gerakan, sebuah lagi parti komponen BN sudah pun menyatakan pendiriannya menolak pelaksanaan dasar baru itu.

Manakala Utusan pula menyifatkan keputusan MCA menolak dasar baru itu "menunjukkan pucuk pimpinan parti itu menolak salah satu usaha hendak menjadikan sekolah sebagai institusi penyatuan pelbagai kaum ke arah matlamat mewujudkan bangsa Malaysia".

Tindakan keras kedua-dua akhbar itu adalah difahami kerana cadangan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris itu dibuat oleh pengerusi BN yang juga presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad Jun lalu.

Cadangan itu disambut baik dan diberi sokongan padu oleh Umno yang berpendapat langkah itu perlu bagi memudahkan pelajar kita menguasai bahasa Inggeris dalam usaha menimba ilmu daripada buku yang banyak ditulis dalam bahasa antarabangsa itu.

Perkiraan nasional

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad sudahpun mengumumkan cadangan itu akan dilaksanakan di semua sekolah bagi tahap satu, tingkatan satu, enam rendah mulai tahun depan.

Sehubungan itu, Berita Harian menegaskan bahawa pendirian MCA, Gerakan dan pertubuhan pendidikan Cina itu telah menimbulkan "tandatanya" kerana mendakwa sesetengah ibu bapa Cina sanggup menghantar anak mereka ke kelas tuisyen bahasa Inggeris.

Akhbar itu mendakwa ada juga ibu bapa Cina yang tidak segan-segan menghantar anak mereka ke sekolah aliran Inggeris sepenuhnya di negara jiran walaupun dikenakan yuran yang tinggi kerana mahu mereka menguasai bahasa berkenaan supaya mampu bersaing di pasaran pekerjaan.

Utusan pula mendakwa langkah mempertahankan penggunaan bahasa Cina dalam pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik itu dipercayai sebagai usaha untuk mengelak pelajar terbabit kehilangan keupayaan berbahasa ibunda mereka.

Sehubungan itu, akhbar berkenaan menegaskan bahawa kerajaan bukannya hendak memaksa pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan China (SJKC) menggunakan bahasa Melayu belajar sains dan matematik, tetapi menggunakan bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, kata Utusan , sikap MCA itu menunjukkan kepentingan pemeliharaan bahasa Cina sebagai jati diri kaum amat penting sehingga mengatasi perkiraan nasional, baik dari segi perpaduan mahupun daya saing rakyat negara ini.

"Maka tidak hairanlah akan timbul perasaan keraguan terhadap cakap-cakap mengenai usaha melahirkan bangsa Malaysia," kata akhbar berkenaan.