Permintaan pertama Dewan penyokong PAS

       

Tampil julung-julung kalinya sebagai perwakilan dalam muktamar parti, Dewan Himpunan Penyokong PAS hari ini mengutarakan permintaan sulung mereka, antaranya bantuan untuk sekolah vernakular dan pelantikan jentera pentadbiran di peringkat daerah.

K Deepakaran pas non-muslim wing 2

Setiausaha dewan itu K Deepakaran berkata permintaan itu dibuat ekoran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta sekolah agama rakyat tidak mendapat perhatian sewajarnya sebelum ini.

"Saya minta PAS tegas supaya SJKC, SJKT termasuk sekolah agama rakyat yang tidak dilayan adil, dengan perutukan kementerian pelajaran.

"Seterusnya, semua usul di parlimen yang menyentuh tentang masyarakat bukan Islam, PAS akan bersuara untuk bukan Islam," katanya.

Deepakaran juga mengusulkan, dalam pelantikan penghulu, ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan ahli majilis haruslah dibuat dengan "sokongan" daripada kesemua dewan dalam parti itu.

pas muktamar in kota bharu "(Mudah-mudahan) penyokong akan berganding dalam dewan-dewan... untuk menjayakan program turun padang bagi mengukuhkan sokongan," tambahnya.

Selepas dinaiktarafkan daripada kelab kepada dewan hujung bulan lalu, penyokong bukan Islam PAS kini dibenarkan menghantar 15 perwakilan dan terlibat secara rasmi dalam muktamar tahunannya.

'Saya dengan taksub...'

Walaupun dibenarkan berucap sebelum ini, kumpulan tersebut hanya mengambil bahagian dengan status pemerhati.

Ketika membahaskan ucapan dasar presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pengkalan Chepa pagi ini, Deepakaran berkata pihaknya berharap PAS terus menjamin hak bukan Islam seperti sunah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad.

NONE "Nabi Muhammad minta dijamin hak orang Islam bila sebarkan Islam di Mekah dan Madinah. Dengan itu, saya harap pemimpin PAS berani mencari ruang bagi mengubah senario politik akan datang.

"Takbir!" katanya disambut laungan "Allahu Akbar", tepukan serta sedikit ketawa kecil daripada kira-kira 1,500 perwakilan dan pemerhati.

Ucapan Deepakaran kira-kira 10 minit hari ini mencuit hati pelbagai pihak, antaranya ekoran 'kefasihannya' mengulas hal ehwal agama Islam, menyebabkan beliau sering mendapat tepukan.

Malah sejak awalnya lagi, dewan di Pusat Tarbiyyah Islamiah Kelantan (PUTIK) - tempat muktamar PAS ke-56 berlangsung - mulai ceria apabila beliau tersilap menyebut perkataan Arab dalam ucapannya: "Saya dengan taksub syukur pada Tuhan yang Maha Esa."

Sementara itu, Deepakaran juga berkata penampilannya sebabagi perwakilan PAS di pentas muktamar, menggambarkan usaha parti bagi membuktikannya "bukan hak umat Islam semata-mata tetapi seluruh rakyat Malaysia".

"Islam bermaksud sejahtera dan aman sesama Islam atau dengan bukan Islam. Islam dilihat amalan beragama penuh dengan semngat toleransi di mana rumah ibadat, tokong, kuil, gereja terpelihara dengan baik," katanya.

 

 

 

 
Malaysiakini
terkini untuk anda