Pengajaran Matematik dan Sains dalam BI jadi keutamaan Dr M

comments     Published     Updated

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mahu menjayakan cadangannya untuk memperkenalkan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah mulai Januari, sebelum berundur Oktober depan, demikian menurut laporan akhbar Straits Times Singapura hari ini.

Walaupun cadangan itu telah mendapat bantahan keras daripada beberapa kumpulan dalam gabungan parti pemerintah, katanya, beliau tidak terhalang dengan perkara itu.

Seperti negara lain di dunia, kata Dr Mahathir, Malaysia perlu "mengikuti perkembangan semasa" dan menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris.

Bercakap dalam pertemuannya dengan wartawan asing di pejabatnya di Putrajaya semalam, Dr Mahathir berkata ia adalah antara keutamaannya sebelum bersara tahun depan.

Menurut Bernama yang memetik laporan Straits Times , di samping memperbaharui sistem pendidikan, beliau juga memberi keutamaan kepada langkah memastikan keamanan pelbagai kaum yang rapuh di negara itu dipulihara.

"Masa terus berjalan dan hanya tinggal kira-kira setahun lagi, namun beliau tetap mempunyai banyak perkara untuk dilakukan sebelum menyerahkan tampuk pemerintahan," lapor akhbar berkenaan.

Perlu berusaha keras

Dalam temubual selama sejam itu, Dr Mahathir berkata, beliau bercadang untuk terus berjuang dalam politik menentang lawannya dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Malaysia, isytihar Dr Mahathir, adalah sebuah negara fundamentalis Islam dan ini telah diiktiraf oleh dunia.

Ini katanya, bukannya satu perubahan dalam kedudukan negara tetapi "satu hakikat" kerana Malaysia berpegang kepada kepercayaan asas Islam, sebuah agama yang penuh toleransi yang menggalakkan keamanan, persefahaman dan pemerolehan pengetahuan.

"Jadi tidak perlu berjuang untuk mewujudkan sebuah negara Islam, yang menurut pembangkang sedang diperjuangkan oleh mereka. Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah Negara Islam, model sebuah Negara Islam, yang mereka ingin contohi," katanya.

Beliau juga mengisytiharkan bahawa "golongan radikal Islam bukannya Islam sebenar" sambil menegaskan bahawa ramai orang telah bosan dengan cara Islam disalahtafsirkan.

PAS, katanya, telah berjaya memainkan fakta itu kerana terdapat ramai orang biasa di kampung-kampung Melayu, walaupun alim tetapi "tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai Islam".

Mahu berehat

Dr Mahathir berkata parti pimpinnnya, Umno, tidak akan lari daripada perjuangan itu demi kebaikan orang Islam.

"Kami tidak mempunyai niat untuk memisahkan agama daripada politik. Apa yang kami ingin lakukan ialah memisahkan politik daripada penyeleweng tafsiran mengenai Islam. Kami akan memperjuangkan agama bagi mendapatkan sokongan rakyat," katanya.

Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau "mahu berehat" dan tidak akan kekal sebagai PM, ataupun sebagai seorang ahli Parlimen tetapi belum memutuskan apa yang bakal dilakukannya.

"Saya telah ditanya oleh banyak orang soalan mengenai persaraan saya. Ramai orang yang mempunyai perancangan untuk diri saya. Namun saya sentiasa berfikiran terbuka," katanya sambil tersenyum.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In