Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tujuh resolusi mantapkan martabat bahasa Melayu
Diterbitkan:  Jun 15, 2010 7:17 PM
Dikemaskini: 11:19 AM

Kerajaan diminta membiayai yuran tahunan kepada guru bahasa Melayu yang menyertai persatuan berasaskan pendidikan bahasa sebagai usaha memantapkan lagi ilmu golongan itu untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Presiden Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM), Profesor Madya Hashim Othman berkata langkah itu perlu dilakukan segera sebagai usaha memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Malaysia.

Permintaan tersebut adalah antara tujuh resolusi yang dicapai dalam Seminar Pendidikan Bahasa Melayu anjuran persatuan itu yang diadakan di Beijing Laurel Hotel yang berakhir di Beijing hari ini.

Seminar dua hari itu turut disertai peserta dari Malaysia, China dan Indonesia.

Katanya, pendidikan bahasa Melayu perlu diperkukuhkasn agar selari dengan usaha yang dilakukan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat.

Selain itu, beliau juga meminta kerajaan membiayai kursus sekali setahun untuk guru-guru berkenaan.

Hashim berkata PPBMM juga memutuskan budaya penyelidikan melalui Kajian Tindakan perlu dimantapkan supaya guru dapat menggunakan hasilnya untuk mempertingkatkan ilmu bahasa Melayu mereka.

"Selama ini kajian tindakan memang telah diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran tetapi pelaksanaannya itu seperti hidup segan mati tak mahu,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan seminar itu di Beijing hari ini.

Untuk itu, jelasnya, PPBMM sanggup untuk mengambil inisiatif dengan kerjasama Kementerian Pelajaran mengendalikan Kajian Tindakan kepada guru-guru di sekolah dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

Antara resolusi lain ialah menggalakkan budaya menulis di kalangan guru bahasa Melayu.

Turut diberi perhatian dalam resolusi seminar itu ialah  membina penampilan dan pengkukuhan kepimpian guru bahasa Melayu melalui bengkel-bengkel akan dilaksanakan oleh PPBMM.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS