Most Read
Most Commented
Read more like this

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Keadilan, Khalid Jaafar hari ini menafikan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai editor Berita Keadilan (BK), akhbar rasmi parti berkenaan, atas paksaan pucuk pimpinan parti berkenaan.

"Secara kebetulan Presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan perletakan jawatan saya sebagai editor BK selepas ucapan perasmian perhimpunan agung (AGM) Keadilan semalam," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Sebenarnya, kata Khalid, beliau memaklumkan kepada presiden parti mengenai hasratnya lama sebelum berlangsungnya AGM Keadilan Sabtu lalu kerana ingin menumpukan masa untuk menulis buku.

"Banyak isu-isu penting semasa hanya dilaporkan di dalam akhbar. Namun bagi saya, semua maklumat penting mengenainya perlu dibukukan supaya dapat menjadi bahan rujukan orang ramai, terutama dalam bahasa Malaysia," tambahnya.

Pengumuman Wan Azizah itu telah menimbulkan pelbagai andaian mengenai punca sebenar Khalid, yang juga merupakan pengarah Institut Kajian Dasar (IKD), termasuk tinjauan rambang mengenai prestasi anggota MT, Pemuda dan Wanita Keadilan sepanjang perlantikan mereka setahun lalu.

Hasil tinjauan disiarkan dalam terbitan BK sebelum berlangsungnya AGM Keadilan di Sungai Petani pada Sabtu dan Ahad lalu di mana reaksi responden ialah sederhana/memuaskan (ahli MT), tidak memuaskan (Pemuda) dan tidak memuaskan (Wanita).

Berikutan itu, isu berkenaan telah menjadi tajuk pendebatan hebat sewaktu berlangsung persidangan Pemuda Keadilan yang tidak puashati dengan laporan tersebut.

Sedia dikritik

Mengulas lanjut mengenainya, Khalid berkata, adalah tidak benar anggapan bahawa beliau mengambil keputusan meletak jawatan sebagai editor BK kerana kritikan hebat daripada perwakilan pemuda.

"Bagi saya, ia hanyalah kebetulan semata-mata. Pendirian saya ialah kita tidak boleh menyekat sesiapa sahaja daripada mengkritik BK," katanya.

Lagi pula, kata Khalid, ianya satu tinjauan rambang, tetapi hasilnya boleh dianggap mencerminkan keadaan sebenarnya.

Menurutnya, fungsi BK sepatutnya melepasi semata-mata usaha untuk mengkritik kerajaan, tetapi akhbar itu juga "berani" untuk membuat penilaian mengenai kekuatan dan kelemahan parti.

Di samping itu, katanya, keputusan beliau untuk melepaskan jawatan editor BK juga berikutan penggabungan parti Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), yang sekaligus akan menambah bidangkerja yang berkaitan dengan penerbitan akhbar berkenaan.

"Sebagai pengarah IKD, saya juga perlu menumpukan masalah di institut berkenaan. Selain itu, saya juga mempunyai syarikat penerbitan sendiri yang juga memerlukan tumpuan saya," tambahnya.

Ditanya siapakah bakal penggantinya di BK, Khalid berkata: "Individu terbabit saya kira perlu mempunyai wawasan yang jelas bagi memikul tangungjawab untuk meneruskan perjuangan parti."


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS