Puak dalam Keadilan yang dikaitkan dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) kini dikatakan menjadi "sasaran" pihak yang tidak senang dengan tindak-tanduk mereka menentang usaha parti berhubung penggabungan Keadilan-Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Ini termasuk tindakan bekas naib ketua pemuda Keadilan, Mustaffa Kamil Ayub, dari puak pro-Abim, menjadi jurucakap kepada 22 perwakilan yang bertindak keluar dewan sewaktu persidangan agung khas parti itu Ahad lalu kerana tidak puas hati dengan perjalanan mesyuarat.
Mereka dilaporkan bertindak demikian kerana mendakwa persidangan yang khusus untuk membahaskan usul mengenai pindaan perlembagaan bagi tujuan pergabungan dengan PRM itu, tidak mengikut proses demokrasi.
Mustaffa ketika bercakap dalam satu sidang akhbar kemudiannya, berkata pihaknya mahu diberi hak membahaskan tentang pindaan perlembagaan yang berkaitan dengan pergabungan itu.
Menurut laporan, mereka bertindak keluar dewan apabila usaha perwakilan dari Johor untuk mendapatkan penjelasan daripada ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu tidak dipedulikan oleh pengerusi tetap Abdul Rahman Kadir.
Dalam pemilihan pucuk pimpinan parti November lalu, persaingan sengit berlaku di antara puak pro-Abim dan puak lain dalam Keadilan, khususnya bagi jawatan timbalan presiden yang sebelumnya telah dikosongkan oleh Dr Chandra Muzaffar.
Puak pro-Abim
Kesemua jawatan utama yang dipertandingkan, kecuali jawatan presiden yang dimenangi oleh Datuk Seri Wan Azizah tanpa bertanding.
Jawatan timbalan presiden akhirnya dimenangi oleh Abdul Rahman Othman, selepas menewaskan calon dari puak pro-Abim, Dr Mohamad Nur Manuty.
Berikutan itu, barisan kepimpinan yang baru telah menawar untuk melantik mereka menganggotai majlis tertinggi parti. Kecuali Ruslan, kesemuanya menolak tawaran itu.
Menurut sumber-sumber, tindakan Mustaffa itu boleh dianggap 'bunga-bunga' awal penentang terhadap pucuk pimpinan, terutama menjelangkan pilihanraya umum tidak lama lagi.
"Satu perkara yang perlu diakui oleh pucuk pimpinan Keadilan ialah walaupun tidak seberapa kerat pemimpin Keadilan dari puak pro-Abim, tetapi mereka mempunyai penyokong akar umbi yang kuat. Ini penting dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang," tegas sumber itu.
Pemimpin Umno
Pergolakan baru itu diperkuatkan lagi dengan keputusan Khalid Jaafar yang sering dikaitkan dengan kumpulan pro-Abim, juga telah melepaskan jawatannya sebagai editor akhbar rasmi parti itu, Berita Keadilan .
Sementara itu, Ruslan dikatakan mendapat layanan dingin sewaktu persidangan agung khas parti itu Ahad lalu kerana berkawan rapat dengan seorang pemimpin Umno di Negeri Sembilan.
Pemimpin Umno itu yang merupakan seorang ketua bahagian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dikatakan kerap berjumpa Ruslan terutama pada awal tahun ini.
Pertemuan itu telah menimbulkan keraguan di kalangan pucuk pimpinan parti Keadilan mengenai tujaun Ruslan bertemu dengan pemimpin Umno berkenaan.
Malah, ianya, telah menimbulkan desas-desus bahawa ada pihak yang sedang memujuk Ruslan supaya meninggalkan Keadilan, dan kembali semula ke pangkuan Umno.
Ketua Umno berkenaan juga merupakan bekas ahli exco Pemuda Umno sewaktu pergerakan itu dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
