Elly Zalilah Yusof, bekas pembantu Azalina Othman Said, akan membuat laporan polis terhadap ketua penaja Puteri Umno itu atas dakwaan Azalina seorang lesbian.

Katanya, beliau akan membuat laporan itu sama ada hari ini atau selewat-selewatnya esok, iaitu sehari sebelum berlangsungnya pemilihan pergerakan tersebut pada 1 Nov ini.

Menurut Elly, beliau dan beberapa penentang Azalina yang lain, dijangka membuat laporan itu di Balai Polis Brickfields ataupun Ibupejabat Polis Bukit Aman.

Beliau berkata, pihaknya telah mengumpulkan segala bukti dan bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya diperlukan.

"Kami bersyukur kerana terdapat beberapa orang ahli Puteri Umno yang bersedia tampil ke hadapan untuk membuktikan salahlaku Azalina," katanya kepada malaysiakini .

Elly memberitahu demikian ketika diminta mengulas laporan Bernama yang memetik Timbalan Ketua Polis Negeri Tan Sri Jamil Johari sebagai berkata, polis tidak menerima sebarang laporan yang mendakwa kononnya Azalina Othman terlibat dengan kegiatan lesbian.

Kemuka bukti

Sehubungan itu, Jamil berkata, polis akan hanya menyiasat jika ada laporan dibuat oleh mana-mana pihak.

Sehingga ini, kata Jamil lagi, dakwaan terhadap Azalina hanya laporan akhbar.

Mengulas lanjut mengenainya, Elly berkata, pihaknya sedang menanti waktu yang sesuai untuk mengambil tindakan selanjutnya. Elly juga sebelum ini pernah membuat laporan polis berhubung dakwaan salahguna kuasa oleh Azalina dalam menerajui pergerakan itu.

Dalam laporan beliau bertarikh 12 Sept lalu, Elly mendakwa Azalina telah menyalahgunakan kuasanya berhubung pendaftaran empat buah van Puteri Umno atas nama teman wanita dan abangnya.

Selain itu, Elly turut mendakwa mengenai kehilangan wang kutipan untuk tabung derma Afghanistan, kewujudan tiga akaun yang berasingan dan pemberian dua kad keahlian kepada ahli pergerakan itu.

Laporan tersebut masih dalam siasatan polis Bukit Aman dan beberapa orang ahli pergerakan itu telahpun dipanggil untuk membantu siasatan. Bagaimanapun, Elly berkata beliau masih belum dipanggil untuk memberi keterangan.

Maruah

Usaha Elly turut mendapat sokongan padu dari Ummi Hafilda Ali yang juga lantang mempersoalkan moral Azalina.

Ketika dihubungi petang tadi, Ummi gembira dengan jaminan timbalan ketua polis negara itu bahawa polis akan menyiasat dakwaan Azalina lesbian sekiranya ada laporan dibuat.

"Mengenai laporan tersebut, kami hanya menunggu waktu yang sesuai untuk melaporkannya," kata Ummi, yang pernah meyakinkan Dr Mahathir bahawa bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seorang homoseks.

Sambil mengulangi pendirian bahawa kegiatan homoseks dan lesbian merupakan perbuatan keji serta tidak bermaruah, Ummi berkata tindakan yang bakal diambil bukanlah sebagai agenda peribadi tetapi sebagai usaha "pembersihan" terhadap salahlaku mana-mana pemimpin Umno yang terbabit..

Jumaat lalu, Dr Mahathir yang juga presiden Umno menegaskan bahawa pemimpin Umno yang didapati terbabit dengan homoseks dan lesbian akan dikenakan tindakan tegas.

Dakwaan lesbian dan salahlaku Azalina telah didedahkan April lalu oleh tabloid Perdana Sari milik penulis Khalid Jaffri, yang juga pernah menulis buku " 50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri " yang membawa kepada kejatuhan kareer politik bekas timbalanperdana menteri itu.