Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiga GLC milik Khazanah rugi pada 2005-2009
Diterbitkan:  Jun 24, 2010 11:15 AM
Dikemaskini: 11:40 AM

Tiga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dimiliki Khazanah Nasional Bhd mencatatkan kerugian antara tahun 2005 hingga 2009, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

    

khazanah nasional Tanpa menamakan syarikat terlibat, Najib yang juga menteri kewangan berkata kerugian yang dicatatkan syarikat GLC berkenaan disebabkan oleh persekitaran perniagaan mencabar yang konsisten dengan trend global seperti peningkatan harga minyak dunia, pengurangan permintaan terhadap produk di samping faktor luaran lain seperti penyusutan nilai pelaburan.

    

"Faktor-faktor lain adalah di luar kawalan dan tidak wajar sekiranya lembaga pengarah GLC berkenaan diambil tindakan atas kerugian yang telah dicatatkan oleh syarikat masing-masing.

    

"Tambahan pula, rata-rata GLC-GLC tersebut kembali mencatatkan prestasi kewangan yang lebih baik pada tahun-tahun berikutnya," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) di Dewan Rakyat hari ini.

Er ingin tahu bilangan GLC yang menghadapi kerugian sejak tahun 2005 dan tindakan kerajaan ke atas Lembaga Pengarah GLC yang mengalami kerugian serta senarai bantuan kewangan kerajaan yang dihulurkan kepada GLC yang mengalami kerugian.

    

Najib berkata semua syarikat GLC tersebut tidak menerima sebarang tindakan menyelamat atau "financial bailout" daripada kerajaan.

    

"Sebaliknya sebarang bantuan kewangan adalah melalui insentif yang sedia ada berdasarkan garis panduan dan polisi yang ditetapkan oleh kerajaan untuk meningkatkan industri yang berkenaan," katanya.

Secara pinsipnya, berdasarkan amalan tadbir urus korporat terbaik selaras dengan Buku Hijau (Meningkatkan Kecekapan Lembaga Pengarah) di bawah Program Transformasi GLC, sebarang tindakan terhadap syarikat tidak sewajarnya diambil oleh kerajaan, katanya.

    

"Sebaliknya perlu diambil oleh pemegang-pemegang saham syarikat itu sendiri," katanya.

- Bernama

ADS