Usul ahli parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun ( bawah, kanan ), dari DAP yang memohon persidangan Dewan Rakyat membahaskan kedudukan tembok Penjara Pudu yang belum diruntuhkan, ditolak.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, ketika menolak usul berkenaan berkata walaupun usul itu adalah perkara tertentu dan berkepentingan orang ramai, ia bukan sesuatu yang perlu disegerakan.
"Saya menolak usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2) kerana perkara ini sudah dibangkitkan oleh empat anggota parlimen ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) oleh kementerian yang berkaitan," katanya.
Pandikar Amin berkata, menteri berkenaan juga sudah memberikan jawapan terhadap perkara yang dibangkitkan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading), Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dan Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali (PAS-Titiwangsa) dan Fong sendiri.
Fong
dalam usulnya antara lain meminta supaya saki-baki tembok Penjara Pudu yang belum diruntuhkan, dikekalkan sebagai warisan sejarah.
Katanya, Penjara Pudu mempunyai nilai sejarah dan boleh menjadi tapak warisan kerana berusia 115 tahun.
Tembok di sebelah bahagian Jalan Pudu dirobohkan pada 21 Jun lalu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membolehkan kerja-kerja pelebaran dan laluan bawah tanah di Jalan Pudu dilaksanakan.
Tiada ciri warisan
Se
mentara itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 bagi warga kementerian itu di Istana Budaya di Kuala Lumpur hari ini, menolak tanggapan bahawa Penjara Pudu yang berusia lebih 100 tahun adalah sebuah bangunan warisan.
Beliau berkata, sesuatu yang dianggap warisan mestilah mempunyai ciri-ciri kebangsaan yang besar nilainya, ciri-ciri sejarah yang membentuk masyarakat serta nilai estetika dan nilai seni bina.
"Penjara semata-mata bukanlah satu warisan yang boleh melonjakkan nilai nasional atau nilai estetika. Namun demikian bagi mereka yang mempunyai kerinduan di zaman lampau, kita boleh menggunakan pintu gerbang sebagai satu preservasi," katanya kepada pemberita.
Menurut Rais, Uda Holdings Berhad bebas membuat sebarang pembangunan di tapak penjara itu tetapi kementerian telah memaklumkan kepada syarikat itu agar pintu gerbang penjara itu dirizabkan dan diletakkan di tempat yang sesuai.
"Tidak usah gundah-gulana tentang Penjara Pudu sebagai satu bab warisan, saya kira rakan-rakan suarakan perkara ini tanpa tentukan isian kehidupan sebenar. Seseorang yang tahu tentang Pudu saya kira mereka lebih gemar kalau Penjara Pudu itu tidak tampak lagi dalam khalayak pada hari ini," katanya.
Penjara Pudu dibina pada 1895.
- Bernama
