Gabungan gurubesar sokong UPSR dihapus

   

Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) menyokong Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dihapuskan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Mohd Puad Zakarshi.

Dr Puad Zarkashi Beliau berkata GMGBM berpendapat ada baiknya peperiksaan awam diadakan sekali sahaja kerana dari segi nilai hanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang boleh diguna untuk mendapatkan pekerjaan dan memohon kemasukan ke universiti.

"Kalau UPSR dan PMR (Penilaian Menengah Rendah) ini sijilnya tiada nilai selepas daripada itu. Sebab itu GMGBM setuju UPSR diganti dengan penilaian sekolah atau 'school based assessment'," katanya pada sidang media selepas menyampaikan diploma dan sijil pada konvokesyen Kolej Teknologi Yayasan Pendidikan Cheras YPC-ITWEB kali ke-6 di Kuala Lumpur hari ini.

Puad berkata kerajaan akan memperluaskan Sijil Kemahiran Malaysia iaitu tidak terhad untuk pelajar lepasan SPM sahaja, sebaliknya ia akan diberi kepada mereka yang telah bekerja berdasarkan pengalaman mereka bekerja tanpa perlu mengikuti pengajian.

    

"Mereka yang sudah bekerja, katalah dia bekerja di bengkel membaiki kereta dan motor...jadi pengalaman dia selama lima tahun boleh dinilai sama ada dia layak diberikan Sijil Kemahiran Malaysia walaupun dia tidak mengikuti kursus macam pelajar biasa yang masuk kuliah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata pemberian sijil ini akan dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Pada konvokesyen itu, 161 graduan menerima diploma perniagaan dan teknologi maklumat dan 46 graduan menerima sijil kursus asasi perniagaan dan teknologi maklumat.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda