Lima pelajar tingkatan lima Maktab Tentera Diraja (RMC) yang direman berhubung kematian pelajar tingkat empat sekolah berkenaan, Muhammad Naim Mustakim Mohd Sobri, 16, dipercayai akibat dibuli, dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, ketika mengesahkan perkara itu berkata pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat untuk melengkapkan siasatan sebelum menyerahkannya kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan susulan.
Semua mereka ditahan pada 24 Jun lalu bagi membantu siasatan kematian Muhammad Naim Mustakim yang dipercayai akibat dibuli dan didera.
Remaja itu dilaporkan meninggal dunia antara jam 11.30 malam dan 1.20 pagi pada hari yang sama.
Laporan mengenai kematian itu dibuat oleh pihak tentera di Balai Polis Sungai Besi pada jam 2 pagi.
Mengikut laporan awal, allahyaham pengsan dan kemudian dibawa ke hospital di dalam kem dan diberi pertolongan cemas CPR.
Kemudian apabila mangsa disahkan meninggal dunia, pihak tentera membuat laporan polis.
Jenazah pelajar malang itu kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) oleh anggota polis.
Semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi berkata seorang pelajar tingkatan lima maktab itu disingkir serta-merta daripada pengajiannya.
Empat lagi rakannya digantung pengajian sehingga siasatan kes selesai.
Kata, Ahmad Zahid keputusan menyingkirkan pelajar itu serta-merta selepas siasatan mendapati pelajar tersebut membuli dengan niat sejak awal tahun ini.
"Pihak maktab membuat keputusan untuk menyingkir pelajar tersebut serta-merta. Kes saman sivil juga akan dikenakan. Dia akan berdepan tindakan daripada tentera, kami (kementerian) dan polis," katanya.
