BERITA

Hishammuddin: Siapa di belakang Raja Petra?

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Jul 2010, 3:06 petang

Pimpinan PKR khususnya Datuk Zaid Ibrahim bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyatapa hubungannya dengan pengendali portal berita Malaysia Today , Raja Petra Kamaruddin.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jika Zaid, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, seorang yang bertanggungjawab, beliau akan memberi penjelasan terhadap persoalan itu.

"Kita memang tertanya-tanya, dalam pada kita tercari-cari di mana Raja Petra, semalam kita lihat gambar Zaid bersamanya, jadi siapa sebenarnya di belakang Raja Petra?

"Raja Petra di luar negara memburuk-burukkan negara dan menyerang peribadi pemimpin, kalau ada bukti tak apa. Tapi dalam blognya cakap macam-macam. Bila ada pemimpin tertinggi pembangkang bersama mereka, kena jelaskan apa hubungan mereka dengan Raja Petra," katanya.

Hishammuddin, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu, hari ini.

Raja Petra menghilangkan diri daripada dihadapkan ke muka pengadilan selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melalui web Malaysia Today .

Hishammuddin berkata pihak berkuasa tidak mempunyai laporan bagaimana Raja Petra ke luar negara sedangkan pasportnya telah diserahkan.

"Apa pasport yang dia guna pun kita tak tahu. Kalau nak bawa dia balik dari England pun, kita kena bekerjasama dengan polis UK (United Kingdom) tapi sekarang ni jelas mereka tidak akan bekerjasama dengan kita," katanya.

Katanya pada masa ini masih terlalu awal untuk menentukan sama ada pihak berkuasa akan menjalankan siasatan terhadap Zaid.

"Tetapi, daripada segi politik, moral dan perundangan, dia (Zaid) perlu beri penjelasan kepada kita," katanya.

--Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.