PAS menyelar tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menggantung bantuan perkapita kepada semua Sekolah Agama Rakyat (SAR) tanpa bukti-bukti kukuh yang menyokong dakwaan bahawa pelajarnya telah diajar supaya membenci pemimpin-pemimpin tertentu.

Naib presiden PAS, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali berkata tidak ada sebab mengapa nasib 600,000 pelajar terbabit diperjudikan atas alasan yang tidak pernah terbukti kebenarannya hingga ke hari ini.

"Tindakan menghentikan bantuan secara tiba-tiba ini memburukkan keadaan pentadbiran sekolah-sekolah terbabit, yang kebanyakkannya begitu daif lantaran sumber kewangan yang terhad," kata beliau yang juga pengerusi lujnah pendidikan PAS pusat, dalam satu sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, keputusan itu telah meletakkan nasib semua sekolah agama rakyat dan pelajarnya dalam keadaan tidak menentu kerana ada sesetengah sekolah yang terpaksa ditutup akibat penggantungan bantuan kewangan tersebut.

"Alasan untuk penggantungan itu begitu remeh dan tidak memerlukan tindakan yang begitu drastik. Kami telah meminta supaya dakwaan itu buktikan secara terperinci tetapi sehingga hari ini, masih belum ada apa-apa bukti yang dikemukakan," katanya.

Beliau menggesa kerajaan BN supaya menarik balik penggantungan bantuan perkapita kepada SAR sebelum kelas semester pertama bermula tahun depan.

Menurutnya, adalah sangat merugikan jika sekolah rakyat ditutup kerana prestasi akademik pelajarnya amat memberansangkan.

Hargai sumbangan SAR

Pada 25 Okt lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa kerajaan akan menghentikan memberi bantuan perkapita kepada SAR selepas mendapati ada antara sekolah terbabit telah dipergunakan untuk tujuan politik.

Perdana Menteri berkata kerajaan mengambil keputusan itu untuk memastikan SAR benar-benar mengajar pelajaran agama dan bantuan kewangan itu akan diteruskan kepada sekolah-sekolah yang bebas daripada politik.

Presiden Umno itu juga berkata beliau diberitahu tentang pelajar SAR yany telah meminta ibubapa mereka untuk menurunkan gambar seorang pemimpin yang dikatakan sebagai "Firaun".

Dalam sidang akhbarnya hari ini, Dr Hasan berkata, tindakan memberhentikan bantuan itu menunjukkan kerajaan tidak prihatinnya terhadap sumbangan SAR terhadap perkembangan Islam di negara ini kerana mereka bukan sahaja menyuburkan tradisi ilmu di Malaysia, tetapi turut melahirkan para ulamak .

"Keputusan yang dibuat untuk menyalurkan bantuan menerusi lunas politik seperti melibatkan wakil rakyat Umno/ BN, JKK (jawatankuasa keselamatan kampung) dan ketua bahagian Umno adalah bertentangan sama sekali dengan semangat berkecuali jentera kerajaan," tambahnya.

Sikap prejudis

"Ia juga menggambarkan dengan jelas betapa Umno/BN ingin meraih keuntungan politik daripada tindakan memberhentikan bantuan secara melulu itu," katanya.

Menurutnya, PAS juga berpendapat, BN dan Umno mempunyai sikap prejudis tehadap sekolah agama yang dilihat melahirkan insan berkesedaran sivik yang tinggi dan cenderung ke arah Islam dan sekaligus dianggap condong kepada pembangkang

"Tindakan itu juga seakan-akan selari dengan permintaan Amerika Syarikat kepada beberapa buah negara Islam supaya madrasah di pantau kerana ia dilihat sebagai tempat bercambahnya keganasan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, PAS juga bercadang untuk memperluaskan sumbangan tabung pendidikan parti itu, meliputi sekolah agama rakyat.

"Kami akan memberi bantuan kepada sekolah-sekolah yang memerlukannya. Ia bukan untuk menggantikan bantuan perkapita tetapi kami harap saguhati yang kami berikan dapat mengurangkan masalah kewangan mereka," katanya.