BERITA

Kilang digeledah, cari edisi terbaru Suara Keadilan

Salhan K Ahmad

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Jul 2010, 9:45 pagi

Sekumpulan pegawai bergegas ke sebuah kilang pencetak di Shah Alam untuk mencari edisi terbaru Suara Keadilan selepas KDN tidak memperbaharui permit penerbitannya yang tamat hujung bulan lalu.

azlan Syarikat percetakan tersebut, Angkatan Edaran Sdn Bhd dikunjungi empat pegawai KDN Selangor pagi ini yang memeriksa dua premis percetakannya bagi tujuan berkenaan.

Penolong pengurus syarikat terbabit Hussin Jan berkata, seorang pegawai yang mengetuai operasi tersebut pada mulanya menyoal beliau sama ada syarikat itu ada mencetak keluaran terbaru lidah rasmi PKR itu.

"Saya kata kepada beliau, kami tak cetak. Kalau tak percaya, saya suruh dia periksa sendiri," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurutnya lagi, kumpulan pegawai itu menghabiskan masa kira-kira selama 20 minit untuk memerika premis kilang tersebut yang terletak di Seksyen 16, Shah Alam.

Mereka kemudiannya memeriksa sebuah lagi premis percetakan milik anak syarikat Angkatan Edaran di sebuah lokasi berdekatan.

Pegawai berkenaan beredar selepas kira-kira 15 minit kemudian apabila gagal menemui nashkah Suara Keadilan di premis berkenaan.

"Mereka cuma periksa sahaja. Mereka tidak ada ambil apa-apa," katanya lagi.

Sementara itu, pengurusnya Nor Azlan Jan pula berkata Angkatan Edaran sememangnya pernah mencetak Suara Keadilan sebelum akhbar tersebut diberikan permit penerbitan.

Beliau juga mengesahkan bahawa PKR sememangnya berniat untuk mencetak akhbar itu di syarikat berkenaan, namun beliau enggan menerima tawaran tersebut.

"Tetapi bila sudah dapat permit, (PKR) bawa pergi cetak tempat lain. Bila ada masalah, hendak bawa ke tempat kami semula.

"Saya cakap, mana boleh. Kita pun tidaklah lapar sangat," katanya ketika dihubungi.

Permit penerbitan Suara Keadilan diluluskan pada April 2008 dan digantung selama tiga bulan pada Mac tahun lalu. Turut menerima tindakan sama ialah lidah parti PAS, Harakah.

Dalam pada itu, mengulas kehadiran pegawai KDN di premis Angkatan Edaran hari ini, pengarang Harakah Taufek Yahya berkata tindakan itu tidak mengganggu operasi akhbar tersebut.

"Syarikat itu sememangnya pencetak Harakah tapi secara kebetulan sahaja syarikat itu juga mencetak Suara Keadilan (pada suatu masa dulu)," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, beliau juga tidak melihat tindakan KDN hari ini sebagai satu bentuk tekanan kepada Harakah kerana operasi tersebut sememangnya ditujukan kepada Suara Keadilan.

"Kalau tidak, mereka tentu sudah rampas naskhah Harakah sebab hari ini sememangnya akhbar kami dicetak untuk keluaran edisi Jumaat," katanya lagi.

Sementara itu, ketua pengarang Suara Keadilan , Dzulkarnain Taib pula berkata, pihaknya masih mengenalpasti syarikat yang boleh mencetak tabloid itu memandangkan PKR bertegas untuk mencetak tanpa permit.

"Kami masih mempertimbangkan bagaimana kami dapat menjalankan keputusan daripada parti. Kami belum tahu lagi di mana hendak cetak, susah untuk saya katakan sekarang," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.