Selepas MCA dan Pemuda Umno, hari ini perwakilan MIC di perhimpunan agung parti itu pula mengecam presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali.
Perwakilan tersebut - S Pulligesi dari Batu Gajah - berkata PERKASA sepatutnya diharamkan sejak awal lagi.
Beliau turut menyalahkan Ibrahim yang didakwanya bertanggungjawab menimbulkan ketegangan kaum di negara ini.
Ibrahim, dakwanya, sering mempertikaikan kerakyatan individu yang menimbulkan isu tertentu.
"Tapi siapakah dia untuk menuntut perkara ini?," soalnya ketika membahaskan ucapan dasar presiden.
"Dia boleh cakap apa yang dia mahu (kerana) ada wakil daripada kerajaan yang menyokongnya," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan individu di dalam kerajaan yang didakwa mendukung PERKASA.
Pulligesi seterusnya meminta presiden Datuk Seri S Samy Vellu supaya masuk campur.
Beliau memberi amaran, negara akan diancam bahaya sekiranya keadaan ini tidak diperbaiki.
Dalam pada itu, seorang lagi perwakilan menuntut supaya pemimpin yang menyebabkan perpecahan kaum, ditahan bawah ISA.
Wakil Labuan, R Ramasamy berkata perdana menteri perlu segera menahan pemimpin "berlidah tajam" itu - termasuk ahli politik dan pegawai kerajaan.
Walaupun beliau tidak menyebut sesiapa yang khusus, tetapi kenyataan Ramasamy itu mungkin merujuk kepada bekas pegawai khas Najib - Nasir Safar - yang dilapor menyifatkan pendatang India sebagai "pengemis" dan pendatang Cina sebagai "pelacur".
Perwakilan bidas PM
Ramasamy juga membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ekoran komennya mengenai amalan kasta dalam menentukan siapa yang harus memimpin parti itu.
Ketika membahaskan ucapan presiden, Ramasamy menyifatkan perdana menteri tidak wajar membuat komen seumpama itu di dalam dewan yang penuh orang India yang menghadiri kongres MIC ke-64.
Semalam, ketika merasmikan kongres tersebut, Najib menggesa MIC supaya tidak menggunakan sistem kasta sebagai faktor utama atau penentu untuk memilih pemimpin di semua peringkat.
Perdana menteri berkata, pemimpin perlu dipilih berdasarkan keupayaan, kebolehan dan kewibawaan untuk berkhidmat kepada masyarakat India.